LONDON, 11 November: Manchester United bersedia mendapatkan khidmat Mauricio Pochettino sekiranya Michael Carrick dipecat, lapor PA Media/dpa.
The Press Association difahamkan bahawa perancangan sedang dilakukan untuk melantik jurulatih dari Argentina itu sekiranya Carrick, yang dijangka dipecat, meninggalkan United ketika kelab itu berada di zon penyingkiran susulan permulaan musim terburuk mereka sejak 1986.
Barisan eksekutif kelab dilaporkan menjalankan penelitian awal berhubung Pochettino, yang difahamkan berminat untuk mengisi jawatan ketua jurulatih di Old Trafford.

Bekas pengendali Tottenham Hotspur, Paris Saint-Germain dan Chelsea itu menandatangani lanjutan kontrak hanya tiga bulan lepas untuk terus membimbing pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS) sehingga Piala Dunia 2030.
Persatuan Bola Sepak AS juga berhak menerima pampasan sekiranya Pochettino bersetuju untuk berpindah ke Manchester United.
Ketua Eksekutif United, Omar Berrada dan Pengarah Bola Sepak, Jason Wilcox dijadualkan mengadakan perbincangan dengan pemilik bersama kelab Jim Ratcliffe di Monaco pada hari ini.
Carrick pula dilihat tiba di pusat latihan United di Carrington pada pagi hari ini.- Bernama-PA Media/dpa





