KUCHING, 11 November: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor pelaksana projek pembinaan Jalan Batu Kawa–Stephen Yong disasarkan mencapai KPI sifar gangguan utiliti sepanjang tempoh pembinaan bagi memastikan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi kepada penduduk tidak terjejas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penyelarasan rapi antara JKR, agensi utiliti, pasukan perunding dan kontraktor perlu diberi keutamaan bagi memastikan kerja pembinaan berjalan lancar tanpa menjejaskan perkhidmatan kepada orang awam.
Beliau menegaskan bahawa kejadian seperti paip pecah dan gangguan bekalan elektrik perlu dielakkan menerusi perancangan serta penyelarasan awal sebelum kerja pembinaan dilaksanakan.
“Saya menetapkan KPI kepada JKR dan kontraktor supaya tiada gangguan utiliti. Saya tidak mahu berlaku paip pecah atau bekalan elektrik terputus. Itu menjadi tugas utama yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran projek pembinaan Jalan Batu Kawa–Stephen Yong yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, pengalaman pembinaan Jalan Matang sebelum ini perlu dijadikan panduan bagi mengelakkan gangguan utiliti sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
Katanya, pendekatan turun padang bersama JKR, kontraktor dan agensi utiliti sebelum kerja pembinaan dimulakan berjaya membantu mengenal pasti kedudukan kabel elektrik serta kemudahan utiliti lain, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan.

Beliau turut mengarahkan semua pihak supaya memberi perhatian serius terhadap kemajuan kerja, keselamatan tapak dan pengurusan trafik sepanjang tempoh pembinaan.
Projek bernilai RM207.88 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak itu melibatkan pembinaan jalan berkembar sepanjang 5.664 kilometer, menghubungkan Persimpangan Jalan Batu Kawa–Matang berhampiran Sungai Moyan dengan Persimpangan Jalan Stephen Yong.
Skop pembinaan merangkumi dua jambatan konkrit bertetulang, masing-masing sepanjang 74.8 meter merentasi Sungai Moyan dan 280.8 meter merentasi Sungai Sarawak Kiri, selain sistem perparitan, lampu jalan, persimpangan berlampu isyarat serta kerja pengalihan dan perlindungan utiliti.
Projek yang bermula pada 11 Februari 2026 itu mempunyai tempoh pembinaan selama 36 bulan dan dijadualkan siap pada 10 Februari 2029.
Uggah berkata, projek berkenaan kini mendahului jadual pelaksanaan sebanyak 3.6 mata peratusan, dengan kemajuan fizikal mencapai 12.03 peratus.
Beliau berharap prestasi itu dapat dikekalkan bagi memastikan projek berkenaan disiapkan mengikut perancangan dan memberi manfaat kepada penduduk Batu Kawa, Matang serta kawasan sekitarnya.
Oleh Afiq Sallehi




