SFC terima projek naik taraf kemudahan pelawat Rizab Semula Jadi Semenggoh

Facebook
WhatsApp
PENGUNJUNG melihat bahan pameran berkaitan hutan bernilai pemuliharaan tinggi dan unit pengurusan hutan semasa lawatan ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh. Foto SFC

KUCHING, 11 November: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menerima penyerahan projek menaik taraf dan menyelenggara kemudahan pelawat di Rizab Semula Jadi Semenggoh menerusi peruntukan RM200,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Majlis penyerahan projek Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN) itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk Surendren Sathasivam, kepada Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) SFC, Japanie Bujang.

Projek berkenaan bertujuan memastikan kemudahan pelawat di rizab semula jadi itu sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan selesa.

Penambahbaikan tersebut turut memberi tumpuan kepada peningkatan aksesibiliti serta pengalaman pengunjung yang berkunjung ke destinasi ekopelancongan berkenaan.

PEGAWAI MOTAC dan SFC merakamkan gambar kenangan di hadapan papan tanda Pusat Hidupan Liar Semenggoh selepas majlis penyerahan projek menaik taraf dan penyelenggaraan kemudahan pelawat di Rizab Semula Jadi Semenggoh. Foto SFC

Rizab Semula Jadi Semenggoh merupakan antara destinasi ekopelancongan utama di Sarawak yang terkenal sebagai pusat pemuliharaan orang utan.

Kemudahan pelawat yang lebih baik dijangka terus menyokong aktiviti pelancongan, pendidikan konservasi serta usaha pemuliharaan biodiversiti di kawasan berkenaan.

SFC turut merakamkan penghargaan kepada MOTAC atas peruntukan dan sokongan dalam menjayakan projek itu.

Kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam meningkatkan kemudahan pelawat, sekali gus menyokong pembangunan ekopelancongan mampan di Sarawak.