BINTULU, 11 November: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi meneroka potensi kerjasama strategik, khususnya dalam memperkukuh komunikasi pembangunan selaras dengan aspirasi Bintulu untuk menjadi hab perindustrian rendah karbon menjelang 2030.
Delegasi AZAM diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ali Suhaili, dan disambut Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari, bersama barisan pegawai kanan agensi berkenaan.
Pertemuan itu menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai hala tuju pembangunan Bintulu, termasuk usaha memperkukuh kelestarian alam sekitar, membangunkan bandar mampan dan beralih kepada ekonomi rendah karbon.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah peranan komunikasi strategik dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap agenda pembangunan rendah karbon.
Perbincangan turut menyentuh kaedah menyampaikan maklumat teknikal, data dan hasil penyelidikan dalam bentuk yang lebih jelas serta mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam hal ini, AZAM melihat komunikasi pembangunan dan pendekatan partisipatif sebagai penghubung antara kepakaran teknikal, dasar pembangunan dengan masyarakat.
Pendekatan berkenaan berpotensi meningkatkan kesedaran awam, selain menggalakkan penyertaan masyarakat dalam menyokong usaha kelestarian alam sekitar.
Lawatan itu turut memberi peluang kepada AZAM untuk memahami peranan BDA dalam mengimbangi pertumbuhan sektor perindustrian dengan pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan komuniti.
Kunjungan berkenaan mencerminkan usaha AZAM memperluas jaringan kerjasama dengan agensi pembangunan negeri, di samping memahami keutamaan pembangunan semasa bagi memastikan pendekatan komunikasinya kekal relevan dan berorientasikan masyarakat.
Pertemuan itu diharap dapat mempererat hubungan antara AZAM dengan BDA, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dan pengetahuan dalam menyokong pembangunan Bintulu yang mampan, inklusif dan berdaya saing.
Oleh Shikin Mahmud





