BAU, 11 November: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau mengadakan latihan dalam perkhidmatan membabitkan pengendalian bot dan enjin sangkut di Sungai Siniawan serta Sungai Sarawak Kanan, hari ini, sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir di daerah berkenaan
Latihan anjuran Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) IPD Bau dengan kerjasama Polis Marin Kuching itu bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan anggota polis dalam menghadapi situasi kecemasan akibat banjir.

Selain itu, latihan berkenaan turut memberi peluang kepada anggota yang berpengalaman mengendalikan bot untuk memperkukuh dan memperbaharui kemahiran sedia ada.
Antara aspek yang diberi penekanan ialah meningkatkan kesedaran anggota terhadap keselamatan ketika berada di perairan serta memantapkan kemahiran mengendalikan bot dalam pelbagai keadaan.

Latihan itu juga bertujuan menguji ketahanan dan prestasi operasi bot serta enjin sangkut milik polis bagi memastikan aset berkenaan berada dalam keadaan baik dan bersedia digunakan ketika diperlukan.
Hadir menyertai latihan tersebut ialah Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman; Timbalan Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintenden Ritchie Jarit; ketua-ketua bahagian, ketua-ketua balai serta anggota polis IPD Bau.
Oleh Connie Chieng




