Perancangan jalan menerusi simulasi trafik buka ruang pembangunan baharu dari Kuching ke Samarahan dan Gedong – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan perancangan rangkaian jalan raya menerusi simulasi trafik bagi membuka ruang pembangunan baharu dari Kuching ke Samarahan dan Gedong.

KUCHING, 11 November: Perancangan rangkaian jalan raya berasaskan simulasi trafik sehingga 2030 bakal membuka ruang kepada pembangunan kawasan baharu dari Kuching ke Samarahan dan Gedong, sekali gus menyediakan akses lebih baik ke kawasan kediaman yang semakin berkembang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri menggunakan data, pemodelan dan simulasi trafik bagi mengenal pasti keperluan infrastruktur jalan raya berdasarkan unjuran pembangunan pada masa hadapan.

Beliau berkata, perancangan itu turut mengambil kira lokasi kawasan perumahan baharu yang dijangka berkembang bagi memastikan kemudahan jalan raya tersedia seiring dengan pertambahan penduduk.

“Kita ada data dan perancangan sehingga 2030. Kita buat ‘modelling’ dan ‘simulation’ untuk melihat bagaimana keadaan trafik serta keperluan jalan raya pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawah ke Jalan Stephen Yong di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, pelan induk berkenaan diselaraskan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dengan memberi tumpuan kepada pembentukan rangkaian jalan yang dapat menghubungkan kawasan pinggir bandar serta membuka akses ke lokasi pembangunan baharu.

Perancangan pembangunan infrastruktur itu turut dilaksanakan menggunakan kekuatan kewangan kerajaan negeri sendiri, membolehkan Sarawak meneruskan pelaksanaan projek mengikut keutamaan dan keperluan pembangunan.

Antara laluan yang dikenal pasti termasuk hubungan jalan dari Siburan ke Samarahan, Serian melalui Munggu Kopi ke Gedong, selain laluan dari Petra Jaya ke Jalan Matang dan seterusnya ke Telaga Air.

Perancangan itu turut merangkumi koridor Bako-Buntal serta kawasan pembangunan sekitar Darul Hana bagi membentuk rangkaian perhubungan yang lebih menyeluruh di sekitar Kuching.

Abang Johari berkata, pendekatan itu bukan sahaja bertujuan mengurangkan kesesakan di laluan utama, malah menyuraikan aliran trafik dan membolehkan kawasan baharu dibangunkan sebagai lokasi kediaman yang mempunyai hubungan lebih baik dengan pusat bandar.

Beliau turut menyentuh sasaran membentuk rangkaian jalan lingkaran yang membolehkan perjalanan antara kawasan tertentu di sekitar bandar mengambil masa kira-kira 30 minit.

Mengulas kesesakan di Batu Kawah, beliau berkata, pertumbuhan kawasan perumahan menyebabkan peningkatan jumlah kenderaan, sekali gus memerlukan pembinaan jalan penghubung bagi melancarkan pergerakan pengguna.

Projek jalan Batu Kawah ke Jalan Stephen Yong yang dilancarkan itu merupakan sebahagian daripada rangkaian lebih luas, termasuk hubungan ke Lebuh Raya Pan Borneo menerusi Jalan Wee Boon Ping.

Selain itu, Jalan Malihah dari kawasan Matang turut dirancang untuk dinaik taraf kepada jalan empat lorong bagi menampung peningkatan trafik.

Abang Johari berkata, perancangan rangkaian jalan raya itu penting bagi memastikan pembangunan kawasan kediaman dan kegiatan ekonomi dapat berkembang secara lebih teratur, selain mengurangkan tekanan trafik di kawasan bandar sedia ada.

Oleh Afiq Sallehi