PBB Bukit Sari tidak mahu persiapan PRN dibuat saat akhir

Facebook
WhatsApp
PUSAT GERAKAN...Awangku Jinal memeriksa bilik gerakan di Pejabat PBB Cawangan Bukit Sari Lawas.

LAWAS, 11 November: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari mahu semua jawatankuasa melengkapkan persiapan lebih awal bagi memastikan jentera parti bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin berkata, setiap jawatankuasa perlu melaksanakan arahan kepimpinan serta memastikan keperluan masing-masing diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang persiapan dilakukan pada saat akhir.

“Ketua PBB Cawangan Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, telah memberikan arahan yang jelas dan setiap jawatankuasa perlu melaksanakannya.

“Semua jawatankuasa sepatutnya sudah bersedia pada peringkat ini dan kita tidak mahu persiapan dilakukan pada saat akhir. Sebaik sahaja menerima arahan, semua pihak perlu terus bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Pentadbiran PBB Cawangan Bukit Sari di Lawas, hari ini.

Menurutnya, PBB Bukit Sari bersama rakan komponennya dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi PRN akan datang.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya mengamalkan pendekatan berkempen secara matang, khususnya dalam menghadapi perubahan landskap politik yang semakin dipengaruhi teknologi digital dan media sosial.

Katanya, penyebaran isu lama, isu kitar semula dan fitnah di media sosial boleh menjejaskan suasana politik sekiranya tidak ditangani secara berhemah.

Beliau turut mengingatkan supaya isu perkauman dan agama tidak dijadikan bahan politik, sebaliknya semua pihak perlu memberikan tumpuan kepada usaha memajukan Sarawak.

“Kita semua berdiri teguh dan bersatu di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta barisan kabinet beliau.

“Semua pihak perlu memberikan tumpuan kepada usaha membina masa depan Sarawak yang makmur dan memastikan hak Sarawak terus diiktiraf selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Oleh Adeng Edrus