PRN Sarawak: Kepantasan dan ketepatan berita uji keupayaan pengamal media

Facebook
WhatsApp

KUCHING, 11 November: Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 semakin dirasai apabila pilihan raya itu menjadi antara topik perbualan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan elit, pesara dan pengamal media.

Susulan pengumuman jadual rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), perhatian kini tertumpu kepada beberapa fasa penting pilihan raya, bermula dengan hari penamaan calon hingga hari pengundian.

Menyedari tanggungjawab besar untuk menyampaikan laporan yang pantas, tepat dan beretika dalam landskap media moden, pengamal media kini giat membuat persiapan bagi menghadapi musim PRN.

PRESIDEN Pewarta, Peter Sibon. Foto Adibfahmy

Menerusi penganjuran Bengkel News360: Seni Penulisan Berita dan Laporan Khas untuk TV, Radio dan Digital 2026 bagi Zon Selatan di sebuah hotel di sini, peserta didedahkan kepada teknik pelaporan terkini, penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta kaedah penyebaran berita merentas platform.

Namun, sejauh manakah teori dan latihan yang diperoleh menerusi bengkel itu dapat diaplikasikan dalam situasi sebenar di lapangan?

Bagi pengamal media yang bakal menggalas tanggungjawab besar sepanjang tempoh pilihan raya, setiap PRN pastinya membawa cabaran tersendiri.

Utusan Sarawak berkesempatan menemubual beberapa pengamal media, khususnya wartawan veteran dan baharu yang menyertai bengkel berkenaan, bagi mendapatkan pandangan serta pengalaman mereka dalam menghadapi PRN Sarawak ke-13.

AMMAR Mirza ketika ditemu bual berkaitan ekspetasinya berkaitan PRN Sarawak ke-13. Foto Adibfahmy

Menurut Presiden Pertubuhan Wartawan Bebas (PEWARTA), Peter Sibon, antara cabaran utama yang dihadapi setiap organisasi media sepanjang musim pilihan raya ialah kekangan masa dalam mengejar perkembangan berita.

“Sesetengah kawasan lebih mudah untuk membuat liputan kerana mempunyai infrastruktur yang lebih baik serta capaian internet yang lebih stabil.

“Namun, bagi kawasan yang benar-benar terpencil, cabarannya adalah bagaimana seseorang wartawan dapat memenuhi tanggungjawab untuk menghantar berita mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai seorang wartawan veteran yang telah lama berkecimpung dalam dunia kewartawanan, beliau turut berpesan kepada wartawan baharu agar sentiasa menimba ilmu.

WARTAWAN veteran Valentine Ngumbang. Foto Adibfahmy

“Jangan sesekali merasakan diri anda sudah cukup bagus sehinggakan anda berhenti mencari ilmu. Proses pembelajaran tidak akan pernah berakhir,” tegasnya lagi.

Di samping itu, wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Valentine Ngumbang berkata wartawan perlu berusaha untuk menyesuaikan diri dalam era maklumat yang pantas disebar.

“Sebagai wartawan yang telah lama berkhidmat sejak zaman masih menggunakan pita perakam, kami perlu bergerak seiring dengan arus kemodenan.

“Kehadiran A.I telah memaksa kami untuk berkerja dengan cara baharu demi memastikan maklumat yang disampaikan mempunyai sentiasa relevan dan berkredibiliti,” katanya.

Tegas Valentine yang telah membuat liputan berkaitan PRN selama empat penggal itu, kemajuan A.I yang kian berkembang kini masih tidak dapat menandingi pengalaman bernilai yang ada pada setiap wartawan.

WARTAWAN Suara Sarawak, Marylind Edward. Foto Adibfahmy

Menurutnya, kreativiti seseorang wartawan itu akan hilang sekiranya terlalu bergantung kepada A.I.

Sementara itu, wartawan baharu Sarawak Tribune, Eszryeen Kris, berpandangan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 merupakan platform penting bagi rakyat menentukan kepimpinan negeri menerusi pemilihan calon yang berkaliber dan mampu membawa suara serta aspirasi masyarakat.

Eszryeen berkata, PRN akan datang merupakan pengalaman pertamanya membuat liputan pilihan raya sepanjang bergelar wartawan.

“Tidak dinafikan, saya berasa agak gementar untuk membuat liputan PRN akan datang kerana masih belum mempunyai pengalaman dalam membuat liputan pilihan raya,” katanya.

Menurut wartawan berusia 27 tahun itu, beliau melihat PRN akan datang sebagai peluang untuk menimba pengalaman serta mendalami proses dan selok-belok pilihan raya.

WARTAWAN Sarawak Tribune, Eszryeen Kris. Foto Adibfahmy

Dalam pada itu, wartawan baharu Suara Sarawak, Marylind Edward, 23, berkata laporan akhbar terdahulu berkaitan PRN akan dijadikan bahan rujukan bagi membantunya menghasilkan penulisan yang lebih baik dan menyeluruh.

“Sebelum turun membuat liputan, saya mengambil inisiatif sendiri dengan membaca laporan terdahulu bagi memahami dengan lebih jelas tugasan yang bakal dilaksanakan.

“Saya juga akan merujuk kepada wartawan yang lebih berpengalaman sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan bagi memastikan maklumat yang disampaikan tepat dan tidak mengelirukan,” katanya.

Di samping itu, Ammar Mirza, 29, berkata PRN kali ini merupakan pengalaman baharu yang amat bermakna buat dirinya, khususnya dalam mengembangkan kerjaya sebagai wartawan.

“Pada mulanya, saya berasa agak gementar untuk membuat liputan buat kali pertama, lebih-lebih lagi bagi PRN Sarawak.

“Namun, saya berharap dapat menggalas tanggungjawab ini dengan baik serta menyampaikan maklumat yang tepat, pantas dan berkualiti kepada pembaca yang mengikuti perkembangan PRN Sarawak,” katanya.

Tambah wartawan baharu itu, bagi memastikan setiap maklumat yang diperoleh sahih dan boleh dipercayai, beliau sentiasa mengambil inisiatif untuk membuat persediaan awal sebelum turun ke lapangan.

“Saya akan pastikan maklumat yang saya peroleh tepat seperti menggunakan portal atau ‘Helpdesk’ UKAS atau JAPEN. Saya juga akan bertanya kepada rakan sekerja atau editor untuk menyemak berita sebelum diterbitkan,” ujarnya

Oleh Adibfahmy