KUCHING, 11 November: Perkembangan pesat Kuching, termasuk peluasan kawasan bandar ke Samarahan dan Batu Kawa, memerlukan rangkaian jalan raya yang lebih menyeluruh bagi menampung pertambahan penduduk serta aktiviti ekonomi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri merancang pembangunan jalan raya bersepadu (integrated road) bagi menghubungkan kawasan-kawasan dalam bandar supaya pergerakan penduduk lebih lancar.
Menurutnya, perkembangan Kuching yang sebelum ini tertumpu di kawasan tertentu kini semakin meluas ke Petra Jaya, Jalan Song, Samarahan dan seterusnya Batu Kawah.

Katanya, pertumbuhan pusat perdagangan serta kemasukan pelaburan, termasuk di kawasan perindustrian Samajaya, turut menyumbang kepada peningkatan jumlah penduduk dan aktiviti ekonomi di sekitar Kuching.
“Jadi inilah bandar kita yang kita rancang dan kita bangunkan disebabkan oleh pertambahan penduduk dan juga kawasan-kawasan pusat perdagangan dan juga pelaburan yang datang di Kuching, termasuk Samajaya.
“Sebab itulah jalan Batu Kawah sesak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawah ke Jalan Stephen Yong di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan Sarawak turut merancang beberapa laluan baharu bagi melengkapkan rangkaian perhubungan antara kawasan sekitar Kuching.
Antaranya, pembinaan jalan dari Batu Kitang terus ke Siniawan dan seterusnya ke Bau, selain menaik taraf jalan dari Matang hingga ke simpang Malihah.
Menurut Abang Johari, pembangunan rangkaian jalan berkenaan akan membolehkan kawasan-kawasan yang sebelum ini kurang mempunyai hubungan terus antara satu sama lain dihubungkan dengan lebih baik.
Beliau turut mengimbas kesukaran pergerakan ke beberapa kawasan sekitar Kuching kira-kira 15 tahun lalu, sewaktu beliau menjadi wakil rakyat Satok dan mahu ke Kampung Segedup.
Katanya, pembangunan jalan raya sejak itu telah mengubah hubungan antara kawasan berkenaan sehingga perjalanan yang sebelum ini sukar kini menjadi lebih mudah.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pembangunan infrastruktur perlu dilaksanakan seiring pertumbuhan bandar bagi menyediakan kemudahan perumahan serta menyokong perkembangan ekonomi penduduk.
Beliau menganggarkan jumlah penduduk di kawasan Kuching dan sekitarnya, termasuk Samarahan dan Batu Kawah, kini melebihi sejuta orang.
Katanya, keperluan membangunkan rangkaian jalan raya turut melibatkan peruntukan kewangan yang besar, dengan setiap projek utama memerlukan ratusan juta ringgit.
“Maknanya semua jalan ini berkehendakkan wang. Sini saja RM200 juta, kalau tiga buah jalan, ambillah purata RM200 juta, RM600 juta,” katanya.
Sehubungan itu, Abang Johari hari ini melancarkan Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong yang melibatkan jajaran sepanjang 5.664 kilometer dengan kos RM207.88 juta sebagai sebahagian usaha memperkukuh rangkaian perhubungan jalan raya di kawasan barat Kuching.
Jalan berkembar itu menghubungkan kawasan Batu Kawa-Matang berhampiran Sungai Moyan dengan Jalan Stephen Yong, sekali gus menyediakan laluan alternatif bagi mengagihkan aliran trafik dari Batu Kawa, Matang dan kawasan sekitarnya.
Projek berkenaan turut melengkapi perancangan rangkaian Jalan Lingkaran Dalam Kuching (Kuching Inner Ring Road) bagi menghubungkan kawasan-kawasan utama sekitar bandar raya ini melalui sistem jalan raya yang lebih bersepadu.
Oleh Afiq Sallehi




