KUALA LUMPUR, 11 November: Tatkala pentas ratu cantik antarabangsa menjadi medan memperagakan pelbagai persalinan daripada fabrik moden, Yap Wen Wei memilih keindahan songket dan batik sebagai taruhan untuk mengetengahkan keunikan warisan negara kepada dunia.
Bagi wakil Malaysia ke pertandingan Miss International 2026 itu, pilihannya bukan sekadar untuk menyerlahkan penampilan, tetapi turut membawa misi lebih besar, iaitu memperkenalkan warisan dan budaya tanah air di persada antarabangsa, melangkaui impian untuk meraih gelaran juara.
Bakal menyarungkan persalinan eksklusif berasaskan fabrik warisan yang mengangkat elemen tradisional tempatan, anak jati Kuala Krai berusia 28 tahun itu turut menjanjikan persembahan istimewa yang akan dipertontonkan sepanjang pertandingan bermula hari ini hingga 25 November depan, di Tokyo, Jepun.

“Pakaian saya memang berbeza kerana setiap helaian wajib membawa elemen Malaysia. Ada teman-teman kata gaya ini nampak biasa dan ketinggalan zaman, tetapi inilah identiti kita (negara) yang sebenar. Saya nak tunjuk kecantikan dan keunikan Malaysia kepada dunia.
“Maybe, we are not fancy, tetapi keaslian inilah yang membezakan Malaysia. Saya juga amat bangga dapat membawa identiti Kelantan yang tersemat kuat dalam diri saya ke pentas dunia. Membesar di kampung dan membantu nenek berniaga di kedai runcit banyak membentuk peribadi saya hari ini,” katanya.
Berkongsi persiapannya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Send-Off Private Party Miss International Malaysia 2026 di sini baru-baru ini, Wen Wei berkata beliau turut memberi tumpuan kepada penguasaan kemahiran berucap, ketahanan mental serta pengetahuan tentang isu semasa bagi memastikan dirinya lebih bersedia dan yakin di pentas pertandingan.

Pengurus pemasaran dan model sambilan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Teknologi Multimedia daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu sedar tanggungjawab besar yang digalasnya sebagai wakil negara dan berikrar memberikan persembahan terbaik demi membanggakan rakyat Malaysia.
“Membawa nama Malaysia adalah amanah yang cukup besar. Saya berjanji memberikan persembahan terbaik, melangkah dengan penuh rasa bangga dan memastikan setiap detik mengharumkan nama negara,” katanya yang pernah meraih tempat ketiga dalam pertandingan Miss Celebrity International 2023.
Pengalaman menyertai pertandingan ratu cantik sejak 2022 turut mengajar Wen Wei erti kesabaran dan ketekunan. Selepas menduduki kelompok enam terbaik pada penyertaan pertama dan tempat kedua pada 2025, beliau akhirnya terpilih mewakili Malaysia tahun ini.

“Saya bertanding sejak 2022. Ketika itu berjaya mendapat Top 6, last year (2025) saya cuba lagi dan berjaya mendapat tempat kedua, akhirnya tahun ini saya berjaya mewakili negara. Saya tak berputus asa dan terus mencuba. Jika saya dapat lakukannya, kalian (gadis di luar sana) juga boleh lakukannya,” katanya ketika menitipkan pesanan kepada golongan muda agar tidak mudah mengalah dan terus percaya pada potensi diri.
Selain membawa keunikan warisan negara ke pentas antarabangsa, Wen Wei turut mengetengahkan usaha memperkasa pendidikan digital menerusi projek Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diusahakannya sejak 2023.
Beliau berkata inisiatif berkenaan bertujuan memastikan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada akses pendidikan.
Menerusi projek itu, hampir 1,000 unit komputer riba telah disalurkan kepada murid daripada keluarga B40 bagi membantu merapatkan jurang digital.
“Pendidikan digital bukan lagi keistimewaan tetapi keperluan asas. Melalui usaha ini, kami mahu memastikan tiada anak-anak keluarga B40 tercicir dalam arus pembelajaran moden semata-mata kerana kekangan peranti,” katanya.
Beliau berkata projek SDG itu juga merupakan antara segmen penting dalam pertandingan Miss International 2026.
Sehubungan dengan itu, Wen Wei berharap rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan dengan menonton serta meninggalkan mesej positif pada video projek SDG miliknya menerusi saluran YouTube rasmi Miss International, kerana jumlah tontonan yang tinggi berpotensi meningkatkan peluangnya untuk mara ke kelompok 20 terbaik.- Bernama





