MIRI, 11 November: Polis berjaya menumpaskan kegiatan kumpulan pencuri kabel yang dipercayai aktif di sekitar kawasan Batu Niah dan Suai selepas menahan empat lelaki, sekali gus menyelesaikan enam kes kecurian kabel yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM148,500.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerima enam laporan polis berkaitan kejadian curi kabel sejak awal September hingga penghujung Oktober 2026.
Beliau berkata, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh di lokasi kejadian membawa kepada penahanan dua lelaki warga asing berusia 37 dan 47 tahun pada 26 Oktober lalu, kira-kira 11.10 malam di kawasan Sepupok, Batu Niah.
Siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek kemudian membawa kepada penahanan dua lagi lelaki tempatan berusia 32 dan 36 tahun pada 31 Oktober, kira-kira 12.20 tengah hari di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Rambai, Bekenu.
Menurutnya dalam satu kenyataan media hari ini, susulan penahanan itu, kesemua suspek membawa pasukan polis ke sebuah premis barangan lusuh di Batu Niah Town District, Miri.
Hasil pemeriksaan di premis berkenaan, polis merampas tiga guni yang masing-masing mengandungi kabel tembaga dipercayai hasil kegiatan curi kabel kumpulan terbabit.
Modus operandi kumpulan itu adalah melakukan risikan terlebih dahulu sebelum menyasarkan kabel di lokasi yang kurang menjadi tumpuan orang ramai.
Kabel yang dipotong akan dikumpulkan sebelum dijual kepada pihak tertentu, manakala antara peralatan yang digunakan termasuk gergaji besi, parang panjang, spanar, pemotong besi dan pemotong zink.
Kumpulan berkenaan turut menggunakan motosikal bagi memudahkan pergerakan ketika menjalankan kegiatan tersebut.
Dengan tertangkapnya empat suspek itu, polis berjaya menyelesaikan enam kes curi kabel yang mempunyai modus operandi sama, masing-masing melibatkan empat lokasi berbeza di kawasan Suai, Batu Niah serta dua lagi lokasi berbeza di Sepupok, Batu Niah.
Kesemua suspek kini masih ditahan reman selama 14 hari sehingga 13 November 2026 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Mohd Farhan menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kesalahan melibatkan kecurian dan kerosakan harta awam.
Katanya, tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kegiatan mencuri, merosakkan atau membeli harta awam yang diperoleh daripada aktiviti jenayah.
Beliau berkata, perbuatan sedemikian bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda, malah boleh menjejaskan kemudahan asas serta kepentingan orang ramai.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam kegiatan membeli atau menyimpan barangan yang dipercayai diperoleh daripada aktiviti jenayah.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah berkenaan boleh menghubungi IPD Miri menerusi talian 085-432533 atau balai polis berhampiran.
Oleh Adum Liu





