Wilfred Yap kecam komen negatif terhadap program bantuan beras

Facebook
WhatsApp
WILFRED Yap mengagihkan sumbangan beras kepada penerima pada Program Santuni Kasih, Sumbangan Beras Prihatin di Taman Hui Sing tiga hari lalu.

KUCHING, 11 November: Program bantuan beras dianjurkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa Wilfred Yap di Taman Hui Sing tiga hari lalu telah menerima komen negatif di media sosial, sekali gus menimbulkan rasa kecewa terhadap kritikan yang dilemparkan terhadap inisiatif untuk membantu golongan memerlukan.

Program Santuni Kasih, Sumbangan Beras Prihatin itu menyaksikan Yap mengagihkan sekampit beras kepada setiap penerima sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya untuk mendekati dan membantu masyarakat setempat.

Beliau berkata sumbangan tersebut, walaupun sederhana, bertujuan mencerminkan semangat kebersamaan dengan rakyat, saling mengambil berat dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Ketika ditemui Utusan Sarawak, Yap mengecam komen negatif yang dimuat naik di akaun Facebooknya dan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab serta tidak wajar.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan penyokong pembangkang di Facebook yang menunjukkan sikap tidak bermoral dengan menggunakan akaun bot untuk menyerang satu inisiatif kebajikan.

“Mereka sanggup membuat dakwaan berniat jahat bahawa bantuan beras yang saya agihkan di Taman Hui Sing ‘tidak layak dimakan oleh anjing’,” katanya.

Beliau turut membangkitkan komen lain yang mempersoalkan masa pengagihan bantuan itu, dengan ada pihak mendakwa ia bertujuan meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya.

Satu komen turut mempersoalkan keberkesanan inisiatif tersebut dalam menangani peningkatan kos sara hidup, dengan menyifatkannya sebagai bantuan sementara serta mempersoalkan keadaan selepas beras yang diberikan habis digunakan.

Yap menegaskan bahawa bantuan itu diberikan khusus bagi meringankan beban keluarga yang benar-benar memerlukan.

Beliau berkata tindakan memperalatkan usaha kebajikan untuk menyerang pihak lain atau meraih keuntungan politik secara tidak beretika adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat.

Yap menegaskan komitmennya untuk terus mendengar suara rakyat, mengambil berat tentang kebajikan masyarakat dan melakukan yang terbaik untuk membantu golongan yang memerlukan.

Oleh Connie Chieng