SELURUH raga Mika bergetar apabila dia sedar memorinya lenyap dengan perlahan-lahan. Helaian demi helaian ingatannya menjadi kabur.
Dua bulan sebelum ini, selepas ibu dan ayahnya bercerai, gadis sembilan belas tahun itu mengikut ibunya berpindah ke Kampung Jerakin, sebuah perkampungan Iban yang terpencil di hulu sungai. Mereka tinggal di rumah peninggalan aki Mika.
Tidak lama selepas mereka berpindah, ayahnya dikhabarkan meninggal dunia. Saat mendengar berita itu, dunia Mika terasa berpusing, bagai dilanda amukan taufan. Sejak itu, dia semakin hanyut dalam dunia imaginasi impiannya. Rasa ingin bahagia dia kian memuncak.
Dia sangat ingin seperti kehidupan rakan-rakanannya yang di kota. Mika membayangkan dirinya di sebuah agam yang cantik, tertawa di beranda bersama ibu dan ayahnya sambil minum teh di petang yang damai.
Bagi anak yang lahir dari keluarga yang bagai kaca retak seribu, itu bukan sekadar permainan minda, tetapi sebuah impian yang sangat bermakna.
Suatu petang, selepas menghantar bekal ke tempat kerja ibunya, Mika ternampak sebuah kedai kecil di hujung lorong deretan kedai runcit. Dia tidak pernah melihatnya sebelum ini.
Lampu-lampu kaca berisi kelip-kelip bergantungan di siling dan rak-raknya dipenuhi dengan balang yang cahayanya bertukar-tukar warna. Semasa dia melangkah masuk ke dalam kedai itu, bau kemenyan bercampur dengan bau kayu tua menyambut kedatangannya.
Di tengah-tengah kedai berdiri sebuah patung kayu belian setinggi manusia dewasa, berwajah manusia tanpa ekspresi. Kayunya reput dimamah usia, berlumut dan ada akar halus menjalar di kaki dan tangannya. Matanya bercahaya kuning pudar, seperti cahaya lilin yang hampir padam.
“Selamat datang ke Kedai Impian,” ujar patung itu. Tubuhnya berkeriut ketika bergerak. “Aku Pentik.” Ujarnya.
Mata Pentik itu meneliti wajah Mika dengan satu pandangan yang menakutkan. “Gadis muda, nampaknya kau menyimpan impian yang indah” katanya.
Mika masih tercegat di ambang pintu, yakin dirinya sudah tidak waras. Pentik menggapai sebuah balang kosong dan membacakan sesuatu seperti sebuah mantra. Seusai dia membaca mantra itu, balang yang dipegangnya terisi cahaya biru dan kuning.
“Impian kau,” katanya sambil menghulurkan balang itu. “Buka sahaja penutupnya, dan kau akan masuk ke dalam impian kau selama mana kau mahu.”
Mika teragak-agak tetapi tangannya tetap menyambut balang itu. Apabila dia mendongak, patung itu sudah kaku dan cahaya di matanya padam.
Malam itu, di bilik tidurnya, Mika membuka tutup balang. Asap bercahaya berkepul keluar, lalu dia tidak sedarkan diri. Dia mendapati dirinya berdiri di hadapan sebuah rumah agam yang indah. Di beranda, ibu dan ayahnya rancak berbual, sesekali diselang-seli derai ketawa.
“Mika!” panggil ayahnya.
Entah berapa lama sudah berlalu sejak kali terakhir dia mendengar namanya dipanggil dengan nada yang begitu dirinduinya. “Inilah kehidupan yang selama ini aku dambakan.” Bisiknya seraya menyeka air mata.
Sejak itu, setiap senja Mika kembali ke kedai Pentik. Tidak pernah sekali pun patung itu menyebut harga balang-balangnya.
Hingga suatu hari Mika menyedari ingatannya semakin terhakis. Dia lupa nama ayahnya, lupa kawan-kawan baiknya dan yang paling menakutkan, dia mula lupa wajah ibunya sendiri.
Sebaik sahaja menyedari hal itu, Mika bergegas ke Kedai Impian malam itu juga. Dia mengetuk pintunya sekuat hati.
Patung itu ketawa mengilai. “Gadis muda, setiap kenikmatan dunia ada bayarannya. Setiap balang yang kau bawa pulang dibayar dengan memori kau.”
“Kembalikan ingatanku!” Air mata Mika bercucuran.
“Boleh, tetapi itu pun ada bayarannya. Aku mahu separuh daripada jangka hayat kau. Aku beri kau tiga hari untuk berfikir: hilang semua memori, atau hilang separuh umur.” Patung itu lenyap.
Mika berjalan tanpa tujuan sehingga tiba di tepi sebuah danau, lalu duduk memeluk lutut dan menangis di bawah cahaya bulan yang pudar.
“Kau nampak seperti ada masalah.” Seorang lelaki sebaya dengannya berdiri di situ, dengan parang kecil di pinggang dan beg anyaman rotan yang berdenting setiap kali dia bergerak.
“Rin Kirai,” katanya sambil duduk tanpa dijemput. “Aku pelajar universiti. Sudah tiga bulan aku di sini, mengumpul ensera daripada orang tua kampung untuk tesis aku. Moyang aku dikatakan berketurunan dari Panggau Libau, dunia ghaib para pahlawan Iban, jadi aku boleh nampak perkara yang orang lain tak nampak. Macam aura kehidupan yang sedang mengalir dari kepala kau.”
“Aura?” Mika menggerak-gerakkan tangan di atas kepalanya, seolah-olah cuba menangkap sesuatu yang tidak kelihatan.
Rin Kirai tergelak kecil melihat telatah Mika itu. “Kau tak akan dapat melihatnya, melainkan kau dengan aku bersaudara.” Dia tersenyum sambil melayangkan pandangan ke arah danau di hadapan mereka.
“Jadi, kenapa boleh macam itu?”
Rin menunjuk ke arah kepala Mika.
Mika tertunduk, lalu menceritakan segala-galanya.
Kening Rin Kirai semakin berkerut. “Separuh hayat terlalu mahal untuk dibayar kepada patung terkutuk itu,” katanya. “Tapi ada cara lain. Datuk aku pernah bercerita tentang sebutir permata bernama Cintamani, yang boleh memulihkan apa sahaja yang hilang daripada roh manusia. Ia tersembunyi jauh di dalam Hutan Rimba Kelam. Sudah lama aku mahu ke sana. Nampaknya kaulah sebabnya.”
…
Di hutan rimba yang kelam, pokok-pokok tinggi menutup cahaya matahari sehingga siang terasa seperti senja yang panjang. Hutan itu tidak membiarkan mereka lalu dengan mudah.
Pada malam pertama, raungan harimau jadian memaksa mereka memadamkan unggun api dan membeku di celah akar. Keesokannya mereka meniti tebing danau tanpa berani menatap Naga Bari yang bersisik perak di dasarnya, dan menutup telinga apabila orang bunian memanggil nama mereka dengan suara ahli keluarga.
Ketika terdengar suara ibunya menyuruhnya memasak nasi, Mika hampir sahaja menoleh. Mujurlah Rin Kirai pantas menarik tangannya dengan kuat, memaksanya terus melangkah ke hadapan. Mika tersedar daripada rasa terpanggil itu lalu segera memohon maaf.
“Maaf, ingatkan betul-betul ibu saya yang suruh masak nasi tadi.” Dia memandang Rin Kirai sambil menggaru-garu belakang kepalanya yang tidak gatal.
Rin Kirai hanya menggelengkan kepala dan mereka meneruskan perjalanan.
Pada senja hari kedua, seekor ular hitam berkilat menyusur di antara kaki Mika, lalu berhenti dan mengangkat kepala. Mata keemasannya hanya memerhati.
Rin Kirai merendahkan tubuh dan menyentuhkan hujung jari ke tanah. “Bungai Nuing,” ucapnya penuh hormat. “Pahlawan dari Panggau Libau. Dia menjelma sebagai ular sakti untuk menjaga mereka yang menempuh perjalanan berbahaya.”
Hujung ekor ular itu melingkari pergelangan kaki mereka seorang demi seorang. Rasa hangat mengalir ke seluruh tubuh Mika, menghapuskan lenguh dan takutnya.
Untuk sesaat, bayang seorang pahlawan yang memakai labung dan memegang terabai kelihatan berdiri di belakang ular itu. Kemudian ular itu menyusur ke hadapan, menunjukkan denai yang sebelum itu tidak mereka sedari wujud.
Pada hari ketiga, iaitu hari terakhir masa yang diberikan Pentik kepada Mika, mereka tiba di sebuah kawasan lapang yang dikelilingi pokok tumbang. Dari tengahnya, satu lembaga bangkit seperti bukit yang tiba-tiba bernyawa.
Antu Gerasi menjulang melebihi pokok-pokok, kulitnya merekah seperti tanah kemarau, matanya seperti dua lohong api yang menyala. Di sisi kakinya, di dalam sebuah kotak kayu kecil, Cintamani bersinar seperti bintang yang tersasar ke bumi.
“Sudah lama tiada manusia bodoh yang sampai sejauh ini,” suaranya bergema seperti guruh. “Semua yang datang untuk permata itu menjadi santapan aku.”
Rin Kirai melangkah ke depan. “Aku dengar Antu Gerasi paling gagah tinggal di sini,” katanya tenang, hampir bosan. “Tapi yang aku nampak cuma raksasa yang termenung beratus-ratus tahun, menjaga batu yang dia sendiri tidak faham kuasanya.”
“Berani kau!” Antu Gerasi menerkam, tetapi tangannya terhalang oleh dinding yang tidak kelihatan. Restu Bungai Nuing sedang melindungi mereka. Raksasa itu menghidu udara, lalu berundur. “Aku kenal bau darah itu. Keturunan Keling!”
“Tepat sekali.” Rin Kirai mengangkat bahu. “Khabarnya di kampung Bungsu Bubut, kuasa Cintamani ini sedang mereput kerana terlalu lama disimpan. Tidak lama lagi ia akan meletup, bersama sesiapa yang berada dekat dengannya. Antu Gerasi di Hutan Kayau sudah lama membuang batu sejenis ini. Mungkin dia lebih bijak daripada kau.”
Antu Gerasi menggeram panjang dan merenung kotak itu dengan curiga.
“Ambillah benda tak berguna ini,” katanya, cuba mempertahankan maruah, lalu melemparkannya. “Pergi, sebelum aku ubah fikiran.”
Rin Kirai menyambut kotak itu. Mereka berundur tanpa berpaling sehingga bunyi nafas raksasa itu hilang ditelan hutan. Barulah Rin Kirai melepaskan nafas lega; sebenarnya dia sangat gentar tadi.
“Benda itu tak akan meletup, bukan?” tanya Mika.
“Mestilah tidak.” Rin Kirai ketawa. “Raksasa macam dia, egonya sentiasa lebih besar daripada akalnya.”
…
Petang itu, mereka mula mengorak langkah pulang ke kampung. Mereka berhenti di sebuah telaga tua di celah akar pohon kara.
“Telaga Kumang,” kata Rin Kirai sambil berlutut dengan penuh hormat. “Dikatakan Kumang pernah mandi di sini sebelum berkahwin dengan Keling. Tanpa air telaga ini, kuasa Cintamani tidak akan sempurna.”
Mika mencedok air telaga itu ke dalam cawan dan meletakkan permata itu ke dalamnya. Cahayanya berpendar, lalu larut perlahan-lahan. Dia meneguknya sampai habis.
Air itu hangat seperti matahari pagi. Memorinya kembali satu demi satu, seperti kepingan kaca yang tersusun semula menjadi cermin yang utuh. Mika menangis lega.
“Mika?” Rin Kirai memandangnya, masih was-was. “Apa impian kau?”
Mika terpaku. Dia masih mengingati impian yang hampir meragut hidupnya, tetapi anehnya, dia tidak lagi mendambakannya seperti dahulu. Yang dia tahu, dia hanya mahu hidup gembira bersama ibunya.
Impian yang pernah dianggapnya paling manis kini terasa asing, seperti halaman buku yang sengaja dibiarkan putih selamanya.
Dia tiba di rumah pada waktu subuh. Letih, tetapi hatinya lebih ringan daripada yang pernah dirasainya sejak kematian ayahnya. Melihat ibunya di ruang tamu, Mika terus memeluknya dan menangis, lalu menceritakan semua yang berlaku.
“Tidak mengapa untuk rindu, sayang,” kata ibunya dengan mata berkaca. “Impian bukanlah satu kesalahan, namun jika terlalu leka mengandalkan impian kita akan mudah tertipu dengan keindahan impian itu sendiri.”
Keesokan harinya, Mika mencari lorong itu bersama Rin Kirai. Yang ada hanya lorong sempit yang berakhir pada dinding batu berlumut.
“Kedai itu hanya muncul apabila ia menemui jiwa yang rapuh,” kata Rin Kirai. “Jiwa kau sudah kuat, kedai itu tak perlukan kau lagi.”
…
Jauh di sebuah perkampungan lain, di lorong sempit yang tidak tercatat dalam mana-mana peta, sebuah kedai kecil beransur-ansur muncul daripada kegelapan. Lampu-lampu kelip-kelip bergantungan.
Balang-balang berbaris, menanti untuk diisi. Di tengah-tengahnya, retak-retak pada sebuah patung kayu belian mula bercahaya kuning pudar.
Malam itu, seorang lelaki melalui lorong tersebut. Wajahnya cengkung dan matanya kosong. Dia baru kehilangan pekerjaan, kehilangan isteri, dan kini pulang bersendirian ke rumah yang sepi. Dia terhenti di ambang pintu.
“Selamat datang,” kata patung itu lembut, “ke kedai yang menjual impian.”
Oleh Jacqueline Dayang anak Jabu





