“Peta Untuk Pulang”: Antara Pencarian Jati Diri dan Kekuatan Konflik Dalaman

Facebook
WhatsApp

DALAM kehidupan, manusia sering mengaitkan perkataan “pulang” dengan perjalanan untuk kembali ke tempat asal; rumah yang pernah ditinggalkan, keluarga yang menunggu atau kampung halaman yang menyimpan pelbagai kenangan.

Namun, dalam karya sastera, pengertian pulang boleh dikembangkan sehingga mencakupi suatu perjalanan batin. Manusia boleh berada di tempat yang sama tetapi kehilangan arah dalam mengenali dirinya. Dia juga boleh berada jauh daripada keluarga, namun masih akrab dengan nilai yang membentuk keperibadiannya.

Persoalannya, apabila seseorang dikatakan tersesat, apakah yang sebenarnya hilang? Jalan untuk kembali atau kesedaran tentang tempat yang seharusnya dituju?

Persoalan inilah yang cuba diketengahkan oleh Sylvialyna Vaneesa anak Clif melalui cerpen “Peta untuk Pulang”, sebuah karya yang menandakan kemunculan awalnya sebagai penulis apabila cerpen berkenaan buat pertama kalinya tersiar dalam akhbar.

Sebagai penulis pemula, keberanian mengangkat persoalan tentang jati diri, kesetiaan kepada prinsip dan hubungan manusia dengan Tuhan sememangnya wajar diberikan perhatian.

Namun, sebuah gagasan yang baik belum tentu menghasilkan cerpen yang kuat. Keberhasilan sesebuah karya tetap bergantung pada cara pengarang membina konflik, memberikan kewajaran kepada tindakan watak dan mengolah bahasa supaya makna yang hendak disampaikan benar-benar sampai kepada pembaca.

Cerpen ini mengisahkan Jessica yang melanjutkan pelajaran selama empat tahun di sebuah universiti di kota asing. Dia tiba dengan cita-cita menuntut ilmu serta membawa harapan dan doa keluarganya.

Jessica pada mulanya digambarkan sebagai seorang gadis yang berhati-hati dalam pergaulan dan tidak mudah mengabaikan pendiriannya. Madeline, sahabatnya, mengenali ketegasan tersebut.

Apabila ditanya tentang perkara yang paling ditakutinya akan hilang, Jessica memberikan jawapan ringkas, “Diri sendiri.” Dialog yang pendek itu sebenarnya menjadi kunci kepada keseluruhan cerita. Pengarang telah meletakkan persoalan jati diri pada bahagian awal sebelum mengembangkannya melalui kehadiran Nathan.

Kehadiran Nathan sebagai teman biasa akhirnya mengubah perjalanan hidup Jessica. Perbualan tentang tugasan bertukar kepada cerita keluarga, kemudian beralih kepada perasaan yang semakin sukar dikawal. Jessica mula menunggu pesanan, menyembunyikan pertemuan dan menjauhkan dirinya daripada Madeline.

Hubungannya dengan Nathan menjadi pusat perhatian sehingga nilai yang pernah dipertahankannya mula dipersoalkan oleh dirinya sendiri. Apabila Nathan berubah dan semakin jarang menghubunginya, Jessica berhadapan dengan rasa kehilangan.

Daripada pengalaman tersebut, dia mula menyedari bahawa dirinya telah terlalu bergantung pada perhatian orang lain. Pada pengakhiran cerita, dia memilih untuk kembali kepada prinsip, kejujuran dan hubungan dengan Tuhan.

Pengarang memilih untuk menjadikan pencarian jati diri sebagai landasan kepada perjalanan watak utama. Leon Festinger menerusi A Theory of Cognitive Dissonance (1957) menjelaskan bahawa ketidakselarasan antara kepercayaan dengan tindakan boleh menimbulkan ketegangan psikologi yang mendorong seseorang mencari alasan atau mengubah pendiriannya.

Pandangan ini membantu kita memahami kegelisahan Jessica apabila perasaan terhadap Nathan mula bertentangan dengan prinsip yang selama ini dipertahankannya.

Dalam cerpen ini, pertentangan tersebut digambarkan melalui kesedaran Jessica bahawa alasan “Kami cuma berkawan” tidak lagi mampu menjelaskan kedudukan hubungannya dengan Nathan. Dia mengulang alasan yang sama sehingga akhirnya mempercayainya.

Di sinilah pengarang menemukan satu persoalan yang menarik: seseorang manusia boleh menjadi penipu kepada dirinya sendiri tanpa perlu terlebih dahulu menipu orang lain.

Cuma persoalan yang perlu diperhatikan ialah sejauh mana pengarang berjaya memperlihatkan pertentangan batin itu melalui peristiwa. Pembaca diberitahu bahawa Jessica mula melanggar prinsip, merahsiakan hubungannya dan tidak lagi berdoa dengan hati yang tenang.

Namun, apakah batas yang sebenarnya telah dilanggar? Adakah sekadar hubungan yang semakin rapat, pertemuan berdua atau perbuatan tertentu yang bertentangan dengan keyakinannya?

Pengarang tidak perlu memperincikan segala-galanya tetapi cukuplah dengan memberikan petunjuk. Tanpa perincian tersebut, konflik yang sepatutnya mendalam kelihatan lebih banyak bergantung pada pengakuan dan rasa bersalah watak daripada peristiwa yang benar-benar meyakinkan pembaca.

Aristotle dalam Poetics telah membicarakan keperluan sesuatu peristiwa berkembang menurut kemungkinan atau kemestian, bukan sekadar disambung mengikut urutan masa.

Prinsip tersebut penting dalam pembinaan plot kerana faktor sebab dan akibat mempunyai hubungan yang tidak boleh diketepikan. Kehadiran sesuatu peristiwa seharusnya memberikan perubahan kepada tindakan watak atau membawa konflik ke tahap yang baharu.

Pertemuan Jessica dengan Nathan, teguran Madeline, panggilan daripada ibunya dan perubahan sikap Nathan ialah beberapa peristiwa yang dipilih pengarang untuk menggerakkan cerita.

Susunannya mudah diikuti dan mempunyai kesinambungan. Namun, kebanyakan peristiwa ini berfungsi mengulangi maklumat yang hampir sama iaitu Jessica semakin jauh daripada prinsipnya.

Perkembangan konflik menjadi agak mendatar kerana perubahan itu sering dinyatakan secara langsung tanpa halangan yang benar-benar mencabar pilihan watak.

Perhatikan bagaimana pengarang memperkenalkan Nathan sebagai lelaki yang memahami kebiasaan dan perasaan Jessica. Dia mengetahui kopi yang disukai Jessica, lagu yang sering didengarnya serta waktu gadis itu berasa sedih.

Perhatian tersebut diibaratkan “hujan pertama selepas kemarau”. Perumpamaan ini memberikan kesan puitis dan menjelaskan sebab Jessica tertarik kepadanya. Namun, selepas hubungan mereka berkembang, watak Nathan tidak diberikan perwatakan yang cukup mendalam.

Apakah sebab sikapnya berubah? Adakah dia sengaja mempermainkan perasaan Jessica atau hubungan mereka sememangnya tidak seimbang? Tidak semua persoalan perlu dirungkaikan sepenuhnya namun sedikit gambaran tentang konflik yang melibatkan Nathan akan memberikan kesan emosi yang lebih mendalam terhadap perpisahan mereka.

Persoalan ini penting kerana Nathan bukan sekadar watak sampingan yang hadir untuk melengkapkan kisah percintaan. Dia merupakan penggerak utama kepada krisis identiti Jessica.

Sekiranya watak itu hanya diberikan fungsi untuk mendekati, kemudian menjauhkan diri, pembaca mudah merasakan bahawa dirinya sekadar alat untuk membawa watak utama kepada pengajaran yang telah ditetapkan pengarang. E.M.

Forster menerusi Aspects of the Novel (1927) membezakan watak yang sederhana pembinaannya daripada watak yang mempunyai kerencaman sifat, malah mampu mengejutkan pembaca secara meyakinkan.

Nathan tidak semestinya perlu menjadi watak yang rumit tetapi tindakannya tetap perlu mempunyai asas yang dapat diterima. Cerpen yang baik tidak memerlukan banyak watak, sebaliknya menuntut peranan yang jelas serta hubungan sebab dan akibat yang meyakinkan agar cerita lebih hidup dan berkesan kepada pembaca.

Madeline pula merupakan watak yang lebih jelas peranannya. Dia berfungsi sebagai suara yang mengingatkan Jessica tentang prinsip asalnya. Ketika Jessica mula membina jarak, Madeline tidak terus menghukum sahabatnya.

Malah, pada bahagian akhir, pengarang menulis bahawa seorang sahabat tidak perlu menjadi hakim, sebaliknya cukup menjadi tempat seseorang meletakkan kepala ketika berhadapan dengan kesulitan.

Gambaran ini menyerlahkan nilai persahabatan yang matang. Namun, pengarang boleh memperlihatkan dengan lebih terperinci kesan perubahan Jessica terhadap persahabatan mereka.

Madeline pernah terluka atau hampir berputus asa? Persoalan seperti ini mampu membina ketegangan yang lebih bermakna daripada teguran yang hanya berulang.

Antara kelebihan cerpen ini ialah usaha pengarang menjadikan bahasa sebagai sarana membina makna. Perkataan rumah, pintu, jalan, hujan, simpang dan peta diulang dalam konteks yang berbeza untuk menggambarkan perubahan emosi Jessica.

Rumah bukan lagi semata-mata tempat berteduh tetapi ruang yang dibina dalam hati. Pintu pula menggambarkan pilihan untuk membuka atau menutup hubungan, manakala peta melambangkan petunjuk menuju kesedaran.

Ada kesatuan imejan yang dapat dikesan daripada permulaan hingga pengakhiran cerita. Pengarang telah menunjukkan kecenderungan untuk berfikir melalui simbol; suatu kelebihan yang boleh terus diasah dalam karya-karyanya pada masa hadapan.

Lambang peta menjadi lebih signifikan apabila Jessica menemukan buku nota lama yang mencatatkan tujuan asalnya datang ke universiti. Dia kemudian menulis, “Aku mahu pulang.”

Pada ketika itu, pengarang mengemukakan beberapa kemungkinan: pulang kepada keluarga, Tuhan, prinsip atau diri sendiri. Peta dalam judul tidak pernah hadir sebagai benda yang benar-benar dilukis di atas kertas. Ia merupakan lambang kesedaran yang terbina daripada pengalaman, kesilapan dan keupayaan memilih arah kehidupan.

Paul Ricoeur dalam The Symbolism of Evil (1967) menekankan bahawa simbol membuka ruang pemikiran dan tafsiran yang melampaui makna harfiahnya. Dalam konteks ini, perkataan pulang mengajak pembaca memikirkan arah kehidupan, bukan semata-mata destinasi.

Judul “Peta untuk Pulang” dengan demikian mempunyai hubungan yang jelas dengan tema. Pengarang berjaya mengikat permulaan dan penutup cerita melalui pengulangan makna yang sama.

Walau bagaimanapun, keindahan metafora tidak hanya bergantung pada banyaknya perbandingan yang digunakan. Bahasa yang baik perlu memberikan ruang kepada pembaca untuk mengalami sesuatu perasaan tanpa setiap maknanya dijelaskan.

Dalam cerpen ini, terdapat kecenderungan pengarang untuk memberikan kesimpulan sejurus selepas menghadirkan sesuatu imej. Misalnya, gambaran tentang hujan, pintu atau perjalanan sering diikuti penjelasan langsung tentang pengajaran yang hendak disampaikan.

Teknik ini memang memudahkan pembaca memahami maksud pengarang tetapi pada masa yang sama mengurangkan peluang pembaca untuk mentafsir sendiri. Keindahan sastera kadangkala lahir daripada perkara yang tidak disebut secara terang-terangan.

Pengarang juga gemar menggunakan ayat pendek yang dipisahkan secara sengaja, seperti “Menunggu mesej. Menunggu panggilan. Menunggu penjelasan.” Susunan ini berjaya menghasilkan rentak yang mencerminkan kegelisahan dan ketidakpastian Jessica.

Namun, apabila teknik yang sama digunakan terlalu kerap, kesannya menjadi kurang mengejutkan. Begitu juga dengan pengulangan ungkapan seperti “kadangkala” dan pernyataan yang bermula dengan “ada manusia”.

Semua itu boleh membentuk gaya tersendiri tetapi perlu dikawal supaya tidak menjadikan penceritaan seolah-olah rangkaian kata-kata hikmah. Pembaca cerpen tidak hanya mahu membaca ungkapan yang indah. Mereka juga mahu menyaksikan peristiwa, merasai ketegangan dan menelusuri perubahan watak.

Di sinilah perbezaan antara bahasa puitis dengan bahasa yang mempunyai fungsi naratif. Keindahan ungkapan perlu turut berperanan memperdalam watak, menggerakkan peristiwa dan memperkukuh konflik.

Cerpen “Peta untuk Pulang” memperlihatkan keupayaan awal pengarang mencipta imej, namun beberapa bahagian masih boleh dipadatkan. Pengarang tidak perlu berulang kali menegaskan bahawa Jessica telah kehilangan dirinya.

Tindakan menyembunyikan perbualan, kegelisahan menerima panggilan ibu dan kesunyian setelah Nathan menjauh sudah memadai untuk membina kesedaran pembaca serta memberikan kesan emosi yang lebih semula jadi.

Persoalan agama turut memainkan peranan penting dalam cerpen ini. Pada bahagian awal, Jessica membawa doa keluarganya ke kota asing. Kemudian, panggilan ibunya mengingatkan tentang amalan berdoa yang semakin jauh daripada penghayatannya.

Akhirnya, doa menjadi sebahagian daripada proses mengakui kesilapan dan mencari kekuatan untuk berubah. Pengarang tidak memisahkan hubungan manusia dengan Tuhan daripada pembentukan jati diri.

Sebaliknya, hubungan tersebut menjadi paksi kepada makna pulang. Gagasan ini memberikan nilai kerohanian kepada karya, khususnya apabila Jessica mula memahami bahawa kesedaran bukan bererti segala kesalahan lampau dapat dipadamkan begitu sahaja.

Namun, penonjolan nilai agama menuntut pengarang memperjelas hubungan antara prinsip, kesalahan dan keinsafan agar penyesalan Jessica tidak dianggap sebagai hukuman terhadap perasaan cinta semata-mata.

Konflik moral perlu berpunca daripada tindakan dan pilihan watak yang meyakinkan, bukan sekadar memberikan gambaran bahawa hubungan dengan lelaki menyebabkan perempuan kehilangan jati dirinya. Persoalan yang lebih besar sebenarnya ialah kejujuran manusia terhadap pilihan dan tindakannya sendiri.

Satu lagi aspek yang perlu diberikan perhatian ialah latar. Cerita bermula di “kota asing” dan berlangsung dalam lingkungan universiti, perpustakaan, bilik, kedai kecil serta stesen kereta api.

Latar tersebut menyediakan ruang yang sesuai untuk memperlihatkan kehidupan seorang mahasiswa yang berjauhan daripada keluarga. Namun, kota asing itu hampir tidak mempunyai ciri yang tersendiri.

Bagaimanakah suasana masyarakat di sekeliling Jessica mempengaruhi pemikirannya? Adakah kehidupan di perantauan menyebabkan dia lebih bebas memilih atau sebaliknya lebih mudah berasa kesunyian?

Sedikit perincian tentang pengalaman hidup di kota berkenaan akan menjadikan perubahan watak lebih berakar pada latar, bukan hanya berlaku dalam ruang perasaan yang abstrak.

Dari aspek penyelesaian konflik, Jessica memilih untuk memutuskan hubungan dengan Nathan dan kembali memberikan perhatian kepada dirinya. Keputusan tersebut membawa cerita kepada suasana yang tenang.

Persoalannya, adakah kesedaran itu telah diuji secukupnya? Nathan tidak memberikan tentangan yang besar, Madeline menerima kembali sahabatnya dan perjalanan menuju graduasi berlangsung tanpa konflik baharu.

Pengarang memilih penyelesaian yang lebih menekankan keinsafan daripada kejutan plot. Pilihan ini bukanlah suatu kelemahan dengan sendirinya. Namun, untuk menjadikan perubahan Jessica lebih meyakinkan, pengarang boleh memperlihatkan Jessica berhadapan dengan keraguan atau godaan untuk mengulangi pilihan lama sebelum benar-benar mampu membuat keputusan.

Pada pengakhiran cerita, Jessica meninggalkan kota itu dengan kesedaran bahawa peta yang diperlukan sebenarnya tersimpan dalam hati. Pengarang menyatakan bahawa setiap simpang mengingatkan dirinya kepada pilihan dan setiap kesilapan memberikan peluang untuk bangun.

Pengakhiran ini mempunyai keselarasan dengan judul tetapi agak panjang dalam menerangkan semula falsafah kepulangan. Setelah Jessica menulis pengertian pulang dalam buku notanya dan berdoa memohon petunjuk, makna yang hendak disampaikan sebenarnya sudah cukup jelas.

Pengakhiran yang lebih ringkas mungkin memberikan gema emosi yang lebih mendalam kerana pembaca dibiarkan membawa sendiri makna tersebut selepas cerita berakhir.

Bagi seseorang penulis yang baharu memperkenalkan karyanya melalui akhbar, pencapaian awal Sylvialyna Vaneesa anak Clif tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan kelemahan teknik.

Pengarang sudah mempunyai kepekaan terhadap simbol dan kecenderungan menghubungkan pengalaman peribadi watak dengan persoalan kemanusiaan yang lebih luas.

Yang perlu diperkukuh ialah disiplin memilih peristiwa yang benar-benar penting, memperjelas sebab tindakan watak dan mengimbangkan bahasa figuratif dengan adegan yang hidup. Pengarang juga boleh mempelbagaikan teknik penceritaan melalui tindakan, suasana dan dialog, bukan hanya menyampaikan perubahan emosi melalui penjelasan narator.

Sesungguhnya, karya pertama yang tersiar dalam akhbar bukanlah penamat kepada suatu pencapaian tetapi pintu awal kepada proses pembelajaran seorang pengarang.

“Peta untuk Pulang” telah memperlihatkan gagasan yang baik tentang manusia yang berusaha mengenali semula dirinya setelah tersasar daripada nilai yang dipercayai.

Kekuatan cerpen ini terletak pada kesatuan perlambangan dan kejelasan arah pemikirannya, manakala kelemahannya lebih berkaitan dengan perkembangan konflik yang kurang mencabar serta kecenderungan menjelaskan makna secara berlebihan.

Jika pengarang mampu memperhalus kedua-dua aspek tersebut, karya seterusnya berpotensi meninggalkan kesan yang lebih kuat kepada pembaca.

Akhirnya, peta dalam sesebuah cerpen bukan hanya perlu diketahui oleh pengarang yang merancang arah cerita. Peta itu juga perlu dapat ditelusuri oleh pembaca melalui pilihan, kesilapan dan perubahan watak yang meyakinkan.

Pengarang boleh menunjukkan jalan tetapi tidak semestinya perlu menerangkan setiap simpang dan mengisytiharkan makna setiap perjalanan. Biarkan pembaca menemukan sebahagian daripada arah itu melalui pengalaman membaca.

Di situlah karya sastera memperoleh kekuatannya: bukan hanya mengajar manusia tentang jalan pulang tetapi membolehkan mereka merasakan sendiri mengapa perjalanan itu perlu ditempuh.

Oleh Abang Meadian Abang Said

Puisi

Musim Di tengah petak sawah kuraup bongkah El Nino yang merekah garis tanganku dipenuhi debu. Dari laut awan tengkujuh mula

Kata Ditulis, Jiwa Dieja

GUMPALAN kata yang ditulis dalam sesebuah sajak merupakan bingkisan suara hati insan yang lirih. Seolah-olah ada resah yang mahu keluar

Peta untuk Pulang

DI kota asing, musim datang dan pergi tanpa pernah bertanya sama ada Jessica sudah bersedia. Empat tahun yang lalu, dia

Puisi

Setahun Lagi Aku Menua Hari ini setahun lagi aku menua namun hayat makin berkurang kerana dengan tahun menambah  makin dekatlah aku dan pulang.  dan cermin pun bercerita hikayat tua rambut yang makin putih gigi yang kian hilang kedut yang jelas berkerut. Aku tidak mahu pesta kek mega atau lilin dan nyala cukuplah doa dan sebingkis maaf kerana tidak terjangkau arif berapa kali lagi pagikah yang bakal menjengah petang yang sempat membahang malam yang sudi kelam.

Penganut Hindu sambut Deepavali Ahad ini

KUALA LUMPUR, 6 November: Penganut Hindu di seluruh negara akan menyambut Deepavali pada 8 November dengan mengadakan upacara sembahyang, melakukan ritual