Russell Brand dipenjara 10 tahun atas kesalahan rogol dan serangan seksual

Facebook
WhatsApp
GAMBAR menunjukkan pelawak dan pelakon Britain, Russell Brand, tiba di Mahkamah Diraja Southwark ketika perbicaraan kes rogol dan serangan seksual yang dihadapinya diteruskan di selatan London pada 30 Oktober 2026. Pelawak dan bintang televisyen Britain itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun enam bulan pada 9 November 2026 selepas disabitkan atas kesalahan rogol dan serangan seksual, susulan keterangan mangsa mengenai trauma yang dialami. Foto AFP

LONDON, 11 November: Pelawak dan bintang televisyen Britain, Russell Brand, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun enam bulan selepas didapati bersalah atas beberapa kesalahan seksual, termasuk rogol.

Hakim Joel Bennathan menyifatkan Brand sebagai “pemangsa seksual” yang selama ini dilindungi oleh popularitinya.

Brand, 51, tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hakim berkata beliau bertindak dengan “keangkuhan yang luar biasa” serta memperlihatkan sikap tidak menghormati mangsa yang mengalami kesan buruk dan berpanjangan akibat perbuatannya.

“Kira-kira 20 tahun lalu, Russell Brand, anda mula dikenali ramai. Anda bijak dan pada pandangan ramai, seorang yang lucu serta berkarisma. Namun, anda juga telah menjadi pemangsa seksual,” katanya.

Hakim berkata populariti Brand melindunginya daripada tindakan undang-undang sehinggalah perbuatannya didedahkan oleh wartawan Sunday Times, The Times dan program Dispatches terbitan Channel 4 pada 2023.

LAURA Gallacher (tengah), isteri pelawak dan pelakon Britain, Russell Brand, dibantu untuk masuk ke dalam kereta selepas suaminya dijatuhi hukuman di Mahkamah Diraja Southwark, selatan London, pada 9 November 2026. Foto AFP

Pendedahan itu mendorong beberapa wanita tampil membuat aduan kepada polis.

Bennathan turut memuji “keazaman dan keberanian” wanita berkenaan, sambil menyatakan bahawa Brand berulang kali bertindak mengikut kehendaknya sendiri tanpa menghiraukan peraturan yang dipatuhi oleh masyarakat.

Isteri Brand, Laura Gallacher, yang mempunyai tiga anak bersamanya, kelihatan terduduk lesu di galeri awam Mahkamah Diraja Southwark di London ketika hukuman penjara 10 tahun enam bulan diumumkan.

Brand sempat memberitahu isterinya, yang sentiasa hadir memberikan sokongan sepanjang perbicaraan, bahawa “kita akan baik-baik sahaja” sebelum dibawa ke lokap.

Minggu lalu, juri mendapati Brand bersalah atas satu kesalahan rogol dan tiga kesalahan serangan seksual terhadap empat wanita yang berlaku antara 2004 hingga 2009.

Brand, yang kini membina imej baharu sebagai penceramah agama Kristian dalam talian, memegang tasbih dan membuat tanda salib sebelum salah seorang mangsanya membacakan kenyataan mengenai kesan jenayah itu terhadap dirinya dari sebalik tabir.

Wanita itu berkata serangan yang dialaminya di sebuah bar di London pada 2004 menyebabkan dirinya mengalami trauma.

“Selama bertahun-tahun ketika popularitinya semakin meningkat, mustahil untuk mengelak daripada melihatnya di pelbagai saluran media. Beliau diraikan kerana tingkah lakunya yang menjijikkan terhadap wanita seolah-olah perbuatan itu sekadar bahan jenaka,” katanya di mahkamah.

DETEKTIF Superintendan Andy Furphy (tengah kiri) dari Polis Metropolitan dan David Roberts (tengah kanan) dari Perkhidmatan Pendakwaan Diraja menyampaikan kenyataan di luar bangunan mahkamah selepas pelawak dan bintang televisyen Britain, Russell Brand, dijatuhi hukuman di Mahkamah Diraja Southwark, selatan London, pada 9 November 2026. Foto AFP

Diraikan

Seorang lagi wanita, peminat Brand berusia 21 tahun yang dirogolnya pada 2009 selepas mereka bertemu di salah satu persembahannya, memberitahu mahkamah bahawa beliau merasakan aduannya tidak akan dipercayai sekiranya membuat laporan.

“Populariti, kekayaan dan pengaruhnya mewujudkan ketidakseimbangan kuasa yang menyebabkan saya berasa tidak berdaya,” katanya.

Perbicaraan itu berlangsung ketika Perdana Menteri Britain, Andy Burnham, berikrar untuk terus melaksanakan segala penambahbaikan yang mampu dilakukan bagi menyediakan lebih banyak sokongan kepada mangsa.

Brand dibebaskan daripada dua lagi pertuduhan rogol dan satu pertuduhan cubaan melakukan serangan tidak senonoh. Bagaimanapun, beliau berdepan siasatan lanjut selepas polis London mendedahkan dakwaan rogol yang melibatkan dua lagi wanita.

Daripada Channel 4 hingga MTV serta rancangan waktu perdana yang menggunakan namanya sendiri di BBC Radio 2, pelawak berambut kusut itu terkenal dengan obsesinya terhadap seks dan gaya penyampaian yang tidak berselindung.

Brand menafikan semua pertuduhan, namun mengakui dirinya “sangat kerap bertukar pasangan seksual” serta menggunakan popularitinya untuk memudahkan hubungan seksual.

Peringatan untuk membuka mata

Dilahirkan dalam keluarga kelas pekerja di Essex, timur London, pada 1975, Brand berhenti daripada sekolah drama sebelum menyertai MTV ketika berusia 25 tahun.

Beliau pernah mengendalikan rancangan radio sendiri di BBC, yang minggu lalu memohon maaf atas “budaya kerja dan kelemahan” ketika Brand bertugas di stesen penyiaran itu antara 2006 hingga 2008.

Brand meninggalkan BBC selepas meninggalkan mesej berunsur seksual secara jelas pada mesin penjawab telefon seorang pelakon terkenal, dengan mendakwa beliau pernah melakukan hubungan seks dengan cucu perempuan pelakon itu.

Beliau kemudian mencuba nasib dalam industri perfileman Hollywood selepas berkahwin dengan penyanyi pop Amerika Syarikat, Katy Perry, pada 2010. Perkahwinan itu bagaimanapun tidak bertahan lama.

Mahkamah mendapati beliau bersalah melakukan serangan seksual terhadap seorang pekerja MTV, seorang pekerja Channel 4 dan seorang kakitangan Capital Radio, selain merogol seorang peminat.

Organisasi yang memberikan sokongan dan peluang kepada Brand selama bertahun-tahun kini berdepan persoalan tentang bagaimana beliau boleh terus beroperasi begitu lama tanpa sebarang tindakan.

Menteri Kebudayaan Britain, Lisa Nandy, berkata lelaki yang mempunyai kuasa masih mengeksploitasi wanita dalam industri media, sambil menyifatkan kes Brand sebagai “peringatan untuk membuka mata”.

Ketika ditemui di luar mahkamah, ketua penyiasat kes itu, Andy Furphy, menyifatkan hukuman berkenaan sebagai satu “detik penting” yang menyaksikan Brand akhirnya dipertanggungjawabkan atas jenayahnya.

Beliau turut memuji “keberanian, maruah dan ketabahan luar biasa” mangsa yang terpaksa mengimbas kembali pengalaman traumatik mereka.

Ketika meninggalkan mahkamah, bapa Brand, Ron Brand, memberitahu wartawan bahawa anaknya ialah seorang “mangsa” dan beliau yakin Russell serta menantunya akan baik-baik sahaja.

“Ya, dia kuat, dia kuat,” katanya ketika ditanya bagaimana anaknya akan menghadapi kehidupan di penjara, sambil menambah bahawa Laura juga seorang yang kuat. – AFP

‘Damba penawar’ kisah hidup Zehra Zambri

PENGALAMAN hidup menjadi inspirasi penyanyi Zehra Zambri, 39, untuk menghasilkan single terbaharu berjudul Damba Penawar, sebuah karya balada yang menceritakan luahan