KUCHING, 10 November: Penguasaan pelbagai bahasa termasuk Mandarin mampu memberikan kelebihan kepada generasi muda Sarawak, khususnya dalam memperkukuh hubungan perdagangan dan ekonomi dengan negara luar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kemahiran berbahasa merupakan antara kelebihan penting dalam menghadapi perkembangan ekonomi global, terutama bagi menjalinkan hubungan perdagangan dengan negara seperti China.

Menurut beliau, pembangunan ekonomi Sarawak juga memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan industri berasaskan teknologi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelantikan Jawatankuasa Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, malam ini.
Abang Johari berkata, penguasaan bahasa Mandarin bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Cina, malah kepada pelajar Bumiputera yang mengikuti pendidikan di sekolah Cina.

Katanya, China yang mempunyai penduduk sekitar 1.4 bilion orang merupakan pasaran ekonomi yang besar dan menawarkan peluang kepada Sarawak untuk memperluas perdagangan serta memasarkan produk tempatan.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh sistem pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang berpengetahuan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta keperluan industri masa depan.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Sarawak tidak menjadikan perbezaan kaum sebagai penghalang dalam pembangunan modal insan, sebaliknya memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang pendidikan untuk menyumbang kepada kemajuan negeri.
Menurutnya, pendidikan juga merupakan instrumen penting dalam memutuskan rantaian kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Katanya, pelaksanaan pendidikan tinggi percuma merupakan antara usaha kerajaan negeri menyediakan tenaga kerja tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan, sekali gus menarik minat pelabur asing.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan bahawa kestabilan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum merupakan asas penting dalam memastikan pembangunan ekonomi Sarawak dapat diteruskan.
Oleh Norman B




