KUCHING, 10 November: Kerajaan memperuntukkan RM200 juta menerusi dua skim khusus bagi memperkasa industri perikanan tangkapan, memodenkan operasi vesel dan meningkatkan pendapatan komuniti nelayan di seluruh negara.
Kedua-dua inisiatif itu ialah Skim Geran Padanan Penggantian Vesel Pukat Tunda Zon B dan Pukat Kenka Dua Bot (PENGGANTI) serta Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan (PEMACU), yang dilancarkan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 30 Ogos lalu bersempena Program MAHA 2026 di MAEPS Serdang.
Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab, berkata Skim PENGGANTI bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap pukat tunda Zon B, merasionalisasikan penggunaan pukat kenka dua bot dan menggalakkan peralatan menangkap ikan yang lebih mesra sumber.
“Langkah ini juga menggalakkan vesel beroperasi di zon perikanan lebih jauh bagi mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan dan memelihara ekosistem pesisir pantai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) bagi kedua-dua skim di peringkat negeri Sarawak, dekat sini semalam.
Menerusi PENGGANTI, kerajaan menyediakan geran padanan nisbah 70:30, iaitu 70 peratus ditanggung kerajaan dan 30 peratus oleh pemilik vesel.
“Bantuan meliputi perolehan peralatan menangkap ikan mesra sumber, pengubahsuaian vesel untuk beroperasi di zon lebih jauh, program ganti kulit serta pembelian balik vesel.
“Skim PEMACU pula menyediakan pembiayaan berkadar faedah atau keuntungan lebih rendah kepada nelayan dan pengusaha vesel tempatan bagi menyokong pembangunan aktiviti perikanan tangkapan,” katanya.
Abdul Rahman berkata, Kerajaan MADANI komited membela nasib nelayan dan memodenkan sektor itu melalui pendekatan seimbang antara kepentingan ekonomi dengan kelestarian sumber laut, selain memastikan keterjaminan makanan negara terpelihara.
Beliau menggalakkan pengusaha vesel dan nelayan yang layak merebut peluang melalui kedua-dua skim itu bagi meningkatkan keupayaan operasi serta daya saing industri, selain berharap inisiatif tersebut memberi manfaat menyeluruh kepada golongan sasaran.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Liza Long; Ketua Cawangan Pelesenan, Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan, Ibu Pejabat Perikanan Malaysia, Putrajaya; serta wakil MFICORD, Jabatan Pertanian Sarawak, LKIM Cawangan Sarawak dan Agrobank Sarawak.
Oleh Adi Safarman





