Dua pesakit dari Miri diterbangkan ke Kuching untuk rawatan pakar

Facebook
WhatsApp
DUA pesakit dari Miri diterbangkan ke Kuching untuk rawatan pakar

KUCHING, 10 November: Dua pesakit yang memerlukan rawatan kepakaran segera diterbangkan dari Miri ke Kuching menerusi operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), hari ini.

Operasi yang dilaksanakan Pangkalan Udara Wilayah Sarawak itu menggunakan helikopter jenis Mi-171 bagi membawa kedua-dua pesakit dari Hospital Miri ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut laporan JBPM, pemindahan berkenaan dilaksanakan susulan permohonan Hospital Miri memandangkan kedua-dua pesakit memerlukan rawatan kepakaran yang tidak dapat disediakan di hospital berkenaan.

Pesakit pertama disahkan mengalami keretakan dan kehelan tulang belakang pada bahagian leher (C2 Fracture Dislocation) yang turut menjejaskan fungsi saraf.

Keadaan pesakit yang kritikal memerlukan pemindahan segera bagi membolehkan rawatan serta penilaian lanjut dilakukan di HUS.

Sementara itu, pesakit kedua mengalami jangkitan dan keradangan saluran hempedu yang serius (Severe Ascending Cholangitis) serta memerlukan pemantauan rapi sepanjang perjalanan.

Pesakit berkenaan turut memerlukan bantuan oksigen melalui tiub hidung pada kadar tiga liter seminit bagi memastikan keadaannya kekal stabil sepanjang proses pemindahan.

Berdasarkan penilaian pasukan perubatan, penggunaan pengangkutan udara merupakan pilihan paling sesuai bagi mempercepatkan pemindahan kedua-dua pesakit, sekali gus mengurangkan risiko kemerosotan keadaan kesihatan akibat kelewatan mendapatkan rawatan.

Operasi penerbangan menggunakan helikopter dengan kod panggilan BOMBA 05 itu diketuai PPjB Sofian Ahmed @ Ibrahim bersama sembilan anggota udara lain.

Helikopter berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Miri pada 9.52 pagi sebelum tiba di Lapangan Terbang Kuching pada 12.57 tengah hari.

Setibanya di Kuching, kedua-dua pesakit diserahkan kepada pasukan ambulans Hospital Umum Sarawak untuk tindakan dan rawatan lanjut.

Helikopter berkenaan kemudian berlepas semula pada 2.02 petang sebelum tiba di ibu pejabat JBPM di Tabuan Jaya pada 2.08 petang.

Secara keseluruhan, operasi melibatkan 10 anggota udara dengan tempoh penerbangan selama empat jam dan dua penerbangan direkodkan.

Operasi MEDEVAC berkenaan berjaya diselesaikan dengan selamat pada 2.10 petang.

Oleh Norman B