KUCHING: Sebanyak 280 permohonan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) petang tadi susulan inisiatif pembukaan kaunter perkhidmatan bergerak DAP sepanjang bulan lalu.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, kaunter bergerak itu dibuka di beberapa lokasi bagi membantu orang ramai mengemukakan permohonan baharu STR serta mengemas kini maklumat dalam akaun sedia ada.
Beliau berkata, walaupun terdapat pemohon yang berjaya menyelesaikan urusan secara dalam talian, sebahagian yang lain menghadapi kesukaran mengakses akaun, log masuk atau mengemas kini maklumat peribadi.
“Bagi pemohon yang menghadapi masalah tersebut, kami membantu melalui proses penghantaran permohonan secara manual serta mengumpulkan dokumen sokongan yang diperlukan,” katanya.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DAP untuk memudahkan orang ramai mendapatkan akses kepada perkhidmatan awam, selain memastikan golongan yang layak tidak terlepas daripada menerima bantuan yang disediakan.
Memandangkan tarikh akhir permohonan baharu dan kemas kini STR ialah 15 November 2026, beliau menggesa mereka yang masih belum berbuat demikian supaya menyemak dan mengemas kini akaun STR masing-masing dengan segera.
Beliau turut menasihatkan pemohon supaya memastikan maklumat peribadi, maklumat isi rumah dan butiran akaun bank adalah tepat serta terkini bagi mengelakkan sebarang masalah.





