SIMANGGANG, 10 November: Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti (JAKKSA) meneruskan komitmen kebajikan masyarakat apabila mengadakan lawatan mesra dan kerja rasmi ke Pusat Dalam Komuniti (PDK) Sri Aman, semalam.
Lawatan yang penuh bermakna itu bukan sahaja memberi peluang kepada ahli jawatankuasa mendekati warga PDK, malah turut diserikan dengan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada beberapa penerima yang layak serta sesi tinjauan bagi mengenal pasti keperluan semasa pusat berkenaan.

Ketibaan rombongan JAKKSA telah disambut mesra oleh Timbalan Setiausaha PDK Sri Aman, Annie Jong. Pihak jawatankuasa turut merakamkan penghargaan atas kesudian beliau meluangkan masa menerangkan operasi dan perkembangan pusat tersebut sepanjang lawatan berlangsung.
Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling berkata, lawatan berkenaan memberikan gambaran lebih jelas mengenai pengurusan harian serta cabaran yang dihadapi oleh PDK Sri Aman dalam usaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada golongan berkeperluan khas.
Menurut beliau, antara keperluan utama yang dikenal pasti ialah kekurangan peralatan pengurusan seperti pencetak dan komputer riba yang amat diperlukan bagi melancarkan urusan pentadbiran serta menyokong proses pembelajaran para pelatih.
“Keperluan asas seperti komputer riba dan pencetak memainkan peranan penting dalam memastikan operasi pusat berjalan dengan lebih cekap serta membantu para pelatih menerima pembelajaran yang lebih teratur,” katanya.
Selain sesi penerangan dan ramah mesra, rombongan turut berkesempatan meninjau jadual pembelajaran serta kemudahan yang disediakan di pusat tersebut.
PDK Sri Aman membahagikan sesi pembelajaran kepada dua kategori utama iaitu sesi dewasa yang dijalankan pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat, manakala sesi kanak-kanak pula diadakan pada hari Selasa dan Khamis.
Secara purata, pusat itu menerima kehadiran seramai 26 pelatih setiap hari dan berupaya menampung sehingga 40 pelatih pada satu-satu masa. Kebanyakan pelatih terdiri daripada golongan “slow learner” yang memerlukan pendekatan pembelajaran khusus dan berterusan.
Salah satu tarikan utama lawatan ialah peluang untuk melihat sendiri fungsi bilik deria (sensory room) yang diselia oleh Droma Albert Jang. Kemudahan khas itu diwujudkan bagi membantu menenangkan pelatih serta meningkatkan fokus mereka ketika mengikuti sesi pembelajaran dan terapi.
Walaupun bantuan yang disampaikan kali ini diselaraskan dalam tempoh yang singkat, JAKKSA menzahirkan hasrat untuk kembali dengan lebih banyak program dan inisiatif kebajikan pada masa hadapan.
Pihak jawatankuasa berharap agar usaha murni yang dijalankan dapat menarik sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta syarikat korporat dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan para pelatih di PDK Sri Aman terus dipelihara.
“Setiap sumbangan dan sokongan yang diberikan mampu membawa perubahan besar kepada kehidupan para pelatih. Kami berharap lebih ramai pihak tampil bersama-sama membantu memperkasakan institusi seperti PDK Sri Aman demi masa depan golongan berkeperluan khas,” ujar Gerald yang merupakan seorang peguam.
Oleh Adi Safarman





