KUCHING, 10 November: Perlawanan akhir Piala FA 2026 wajar diadakan di gelanggang berkecuali bagi memastikan keadilan kepada kedua-dua pasukan susulan kejayaan Kuching City FC mara ke perlawanan akhir.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mempersoalkan pemilihan lokasi perlawanan akhir di Johor memandangkan Kuching City FC bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saya terkejut mengapa bukan di gelanggang berkecuali. Mengapa mesti di Johor? Bukan bermaksud kita takut, tetapi perkara itu tidak tepat.
“Sepatutnya di gelanggang berkecuali, sekurang-kurangnya adil,” katanya pada sidang media Manggung Di Muara 2026 di Baitulmakmur, hari ini.
Abdul Karim berkata, beliau memahami sekiranya Stadium Nasional Bukit Jalil tidak dapat digunakan, namun mengambil maklum bahawa keputusan mengenai lokasi perlawanan akhir telah dibuat.
Beliau menegaskan Kuching City FC tidak akan gentar beraksi di mana-mana gelanggang dan berharap pasukan itu mampu memberikan tentangan sengit pada perlawanan akhir nanti.
“Saya turut berasa bangga dengan pencapaian kelab yang baru berusia 10 tahun itu kerana berjaya menewaskan pasukan besar seperti Selangor.
“Saya sendiri menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua dan melihat stadium hampir penuh dengan penyokong yang memberikan sokongan padu kepada pasukan itu.
“Pastinya kejayaan tersebut membanggakan seluruh Sarawak, khususnya peminat bola sepak,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia, terutama di Johor dan Melaka, supaya hadir memberikan sokongan kepada Kuching City FC pada perlawanan akhir nanti.
“Saya tahu di Pasir Gudang terdapat ramai rakyat Sarawak dan peminat bola sepak Sarawak. Turunlah ke stadium di Johor.
“Bagi mereka di Melaka, terutama yang berkhidmat dalam tentera, pandulah ke Johor dan berikan sokongan penuh kepada Sarawak.
“Saya juga berhasrat untuk menyaksikan perlawanan akhir itu sekiranya tiada halangan,” katanya.
Untuk rekod, Kuching City FC mara ke final Piala FA buat kali pertama selepas menewaskan Selangor 2-0 selepas masa tambahan pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Taha Ariffin, 8 November lalu, sekali gus mencatat kemenangan agregat 3-2.
Oleh Masrin Affirah





