KUCHING, 10 November: Ahli Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Kaunselor Eric Tay Tze Kok, berkata pelaburan Sarawak dalam bidang pendidikan perlu seiring dengan pembangunan ekonomi dan penyediaan peluang pekerjaan bagi menggalakkan lebih ramai anak muda membina masa depan di negeri ini.
Beliau berkata, pihaknya menyokong pendirian Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa graduan seharusnya pulang ke Sarawak atas pilihan sendiri dan bukannya melalui aturan pekerjaan wajib.
Menurutnya, walaupun Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) merupakan inisiatif yang amat baik, pendidikan sahaja tidak mencukupi untuk menangani penghijrahan tenaga mahir.
Tambahnya, Sarawak juga perlu menyediakan gaji kompetitif, peluang kerjaya berkualiti dan ruang untuk kemajuan profesional.

Katanya, industri yang sedang berkembang seperti tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, semikonduktor, teknologi digital, kecerdasan buatan dan pembuatan termaju mampu menawarkan peluang pekerjaan yang besar kepada golongan muda.
“Matlamat kita adalah untuk membina ekonomi yang menjadikan kepulangan ke Sarawak satu pilihan yang menarik. Kita tidak seharusnya memaksa golongan muda pulang. Sebaliknya, kita perlu menyediakan lebih banyak sebab untuk mereka memilih Sarawak,” katanya.
Mengenai hasrat politiknya, Tay berkata sekiranya diberi peluang untuk bertanding dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, beliau akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pembangunan yang membawa perubahan nyata kepada masyarakat.
Jelasnya, antara keutamaannya ialah menaik taraf sistem perparitan, memperbaiki kemudahan lampu jalan dan keselamatan awam, meningkatkan kemudahan awam serta menjadikan Padungan kawasan yang lebih menarik untuk penduduk dan peniaga.
“Sekiranya diberikan mandat rakyat untuk mewakili Padungan, saya mahu memaksimumkan setiap peruntukan pembangunan kawasan dan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan berkaitan bagi menangani keperluan masyarakat.
“Seorang wakil rakyat perlu membuat susulan, menyelaras dan berusaha mendapatkan penyelesaian, bukannya sekadar menunjukkan agensi yang bertanggungjawab.
“Saya percaya politik seharusnya berteraskan usaha dan hasil. Rakyat mahu melihat tindakan serta pencapaian nyata, bukannya janji yang berulang,” katanya.
Tay berkata pendidikan, peluang ekonomi dan perwakilan rakyat yang berkesan perlu bergerak seiring bagi membina masa depan Sarawak yang lebih baik.
Oleh Connie Chieng





