MELAKA, 10 November: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta pihak berkaitan bagi melindungi laman webnya daripada sebarang pencerobohan susulan dakwaan ancaman serangan siber terhadap platform berkenaan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, laporan berhubung perkara itu turut dikemukakan kepada pihak berkaitan sebagai langkah awal bagi memastikan keselamatan sistem SPR terus terpelihara.
“Kita telah bekerjasama dengan semua pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan perkara tersebut tidak berlaku. Insya-Allah,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak, Sungai Udang, di sini hari ini.
Ramlan berkata, SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Beliau berkata, pihaknya masih belum menerima laporan lengkap mengenai dakwaan ancaman berkenaan.
“Saya tidak dapat laporan penuh lagi berkenaan perkara itu dan insya-Allah SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat.
“Kita sama-sama berdoa agar serangan siber itu tidak menjejaskan laman web kita kerana ia amat penting dalam kita melaksanakan pilihan raya ini,” katanya.
Terdahulu, SPR menerusi siaran langsung di media sosial memaklumkan bahawa laman web suruhanjaya itu dipercayai berhadapan dengan ancaman serangan siber.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/pm/melaka/2026/. – Bernama





