Sarawak Gazette menyimpan memori koleksi

Facebook
WhatsApp

TIDAK dapat dinafikan bahawa Sarawak Gazette merupakan surat khabar terawal di Sarawak yang merakam banyak peristiwa sejarah di negeri ini.

Walaupun ia merupakan alat kerajaan Brooke untuk mendapat maklumat, dan terdapat biasnya dalam beberapa aspek tetapi ia mempunyai maklumat yang berguna untuk memahami sejarah Sarawak.

Maklumat yang dihimpun dalam Sarawak Gazette banyak memberi penjelasan tentang keadaan pemerintahan dan masyarakat Sarawak ketika era tersebut. 

Catatannya dibuat dengan melibatkan pelbagai perkara dalam kehidupan masyarakat Sarawak.  Ini termasuklah maklumat tentang Sarawak Gazette itu sendiri.

Maklumat

Pada awal penerbitannya, maklumat utama yang turut dipaparkan adalah mengenai kadar harga langganan dan jualan Sarawak Gazette. Setakat tahun 1883 harganya hanyalah 10 sen. 

Malah, surat khabar ini juga boleh dibeli melalui sistem langganan. Sesiapa yang ingin membelinya perlu membayar hanya $1.00 untuk tempoh setahun. 

Dari segi edaran, warta ini tidak terhad di Sarawak sahaja, sebaliknya turut menjangkau Singapura dan England. Kadar langganan yang ditetapkan ialah sebanyak $1.25 bagi pembaca di Singapura dan $1.50 untuk pelanggan di England, termasuk bayaran pos.

Akhbar ini juga mempunyai ruang iklan yang boleh dibeli oleh sesiapa yang ingin menempahnya. Bayarannya berlainan mengikut jumlah perkataan dan berapa kali ia disiarkan serta ruang dalam akhbar ini.

Berita

Terdapat beberapa jenis berita dipaparkan dalam Sarawak Gazette.  Ia juga dipaparkan menerusi pelbagai ruang mengikut keutamaan. Pada peringkat awal selalu dimaklumkan tentang perjalanan urusan kerajaan. 

Hal ini dipaparkan tentang urusan dalam Majlis Tertinggi yang merupakan badan tertinggi dalam kerajaan Sarawak ketika itu.

Dalam hal ini dinyatakan bagaimana Raja Brooke dilihat sebagai telus dan memberi ruang kepada pembesar tempatan dan pegawai Barat untuk sama-sama membincangkan soal hal ehwal Sarawak. Selain itu beliau juga mengumumkan perkembangan semasa dari luar negeri yang mempunyai kaitan dengan Sarawak. 

Pelantikan Konsul British di Sarawak misalnya pernah dimaklumkan kepada ahli-ahli majlis pada tahun 1883.  Berita-berita pembangunan di Kuching juga dipaparkan dalam Sarawak Gazette. Misalnya pada Januari 1883 dinyatakan tentang apa yang telah dibuat oleh pihak kerajaan di Kuching. 

Antara perkara yang disentuh adalah menyatakan pembinaan rumah, kedai dan bangunan baharu yang bersaiz besar pada tahun 1882 di Kuching.  Ia juga menyatakan tentang pembinaan bazar baharu.

Namun demikian maklumat dinyatakan dalam Sarawak Gazette ini tidak banyak diperincikan, sebaliknya hanya menyatakan secara umum. Pernah juga menyatakan pembinaan sebuah pasar baharu pada tahun 1882 tetapi tidak dinyatakan lokasinya. 

Sebuah hospital yang mempunyai ruang luas dan sistem pengudaraan yang baik turut dilaporkan telah dibina.

Laporan di luar Kuching juga dinyatakan dalam laporan ini seperti penyerahan Baram oleh Sultan Brunei kepada Sarawak. Dalam hal ini dinyatakan bagaimana keadaan Baram dan pembinaan sebuah pusat pentadbiran di Baram.

Pernah juga paparkan berita pembaharuan yang berlaku di China dalam keluaran Sarawak Gazette pada tahun 1881. Lawatan daripada orang luar ke Sarawak juga dicatat dalam Sarawak Gazette seperti kedatangan kapal H. M’s Lily & Fly dan kapal Amerika Syarikat iaitu Alert.

Peraturan

Sarawak Gazette juga digunakan untuk merakam dan memaklumkan tentang peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Peraturan yang diperkenalkan ini menyentuh pelbagai aspek kehidupan masyarakat pada waktu tersebut.

Antaranya adalah Order No.XII, 1894 (Perintah No. 12, Tahun 1894) menyentuh mengenai kebersihan makanan dan penipuan. Perincian peraturan ini menetapkan bahawa penjualan khinzir yang berpenyakit boleh dikenakan denda.

Selain itu, peraturan tersebut turut melarang penipuan oleh peniaga yang menyuntik air ke dalam daging khinzir bagi menambah beratnya dalam proses penimbangan.

Namun demikian tidak semua yang berkaitan dengan perintah itu adalah satu peraturan. Perintah itu juga satu pengumuman dan pemakluman tentang sesuatu perkara seperti isu tuntutan harta benda. 

Pada 1902, satu notis telah dikeluarkan bagi memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk mengemukakan tuntutan hutang terhadap harta si mati dalam tempoh tiga bulan.

Pada tahun tersebut terdapat dua pemilik estet yang telah meninggal dunia iaitu Ah Goh dan Tambi Kadir Midin. Selain estet-estet pihak yang telah meninggal dunia, pada 1902 itu juga melaporkan tentang kes bankrap  ke atas estet Yio Mia Li. 

Dalam Order XXXVIII, 1902 juga menyebut tentang sesiapa yang mahu membuat tuntutan ke atas estet itu boleh berbuat demikian dalam tempoh tiga bulan.

Bahagian

Kandungan Sarawak Gazette ini turut merangkumi laporan rasmi yang dikemukakan oleh para pegawai Brooke dari pelbagai pusat pentadbiran di seluruh Sarawak.  Laporan di peringkat bahagian dan daerah ini juga adalah pelbagai.

Laporan ini merupakan satu makluman yang bersifat berkala mengikut beberapa bahagian dan daerah. Salah satu contoh adalah laporan Penolong Residen J. Bloomfield Douglas.

Dalam laporan beliau pada Julai 1895 menyentuh mengenai perkembangan di Lundu. Dalam hal ini beliau telah melaporkan berita tentang kes tembakan yang melibatkan Orang Kaya Langie dan Ajan. 

Selain itu, laporan lain merekodkan perkhabaran tentang penularan wabak taun di Sambas, sebagaimana dimaklumkan oleh orang Melayu Sambas yang tiba di Lundu. Douglas pula meneliti laporan ini tetapi tidak dapat kepastian sepenuhnya tentang kebenaran kes penyakit taun ini.

Namun demikian, Douglas mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya di Sematan, bagi membendung risiko penularan wabak epidemik yang berpunca dari Sambas.

Terdapat juga laporan tentang kejadian orang gila yang cuba menyerang orang ramai dengan parang. Beliau kemudiannya dapat ditangkap oleh pihak polis, dan dihantar ke Kuching.

Laporan ekonomi juga menghiasai laporan dari Lundu ini dengan menyentuh tentang pemberian permit penanaman kopi. Tambahan daripada itu dilaporkan dari Lundu ini juga tentang import dan eksport dari Lundu.

Statistik

Salah satu elemen menarik dalam Sarawak Gazette ialah peruntukan ruangan khusus bagi data statistik, antaranya merangkumi rekod taburan hujan dan pergerakan harga barangan di Kuching.

Rekod empirikal ini amat bernilai dalam mencerminkan realiti semasa, sekali gus membantu kita memahami landskap sosioekonomi serta kehidupan masyarakat Sarawak pada era tersebut.

Penerbitan Sarawak Gazette walaupun menunjukkan ada sentimen sentrik Barat terhadap masyarakat tempatan tetapi beberapa maklumatnya amat berguna untuk memahami sejarah Sarawak yang menyimpan secara bertulis memori kolektif ini. 

Sebagai sumber sejarah, bahan di Sarawak Gazette perlu dianalisis dan disemak silang dengan teliti agar sintesis maklumatnya menghasilkan dapatan yang seimbang untuk menghasilkan penulisan tentang sejarah Sarawak.

Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Menyantuni bidang kuasa Pusat dan Sarawak

PERSAINGAN bidang kuasa petroleum antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak bukan sekadar pertikaian undang-undang atau perebutan hasil bumi, tetapi ujian terhadap

Sejarah penerbitan Sarawak Gazette

PERKEMBANGAN dalam bidang persuratkhabaran telah lama wujud di dunia. Zaman Rom misalnya telah ada bentuk-bentuk awal persuratkhabaran dengan munculnya ActaDiurna