KUCHING, 9 November: Kegagalan Selangor FC melangkah ke final Piala FA bukan sekadar disebabkan nasib malang, sebaliknya kelemahan taktikal, disiplin dan prestasi pasukan sendiri perlu menjadi perkara utama yang dinilai semula oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon.
Bekas pemain kebangsaan, Safiq Rahim secara terbuka mempersoalkan pendekatan Selangor yang dilihat lebih banyak bertahan ketika berdepan Kuching City FC, selain beberapa keputusan taktikal yang menurutnya wajar dipersoalkan.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Safiq turut membangkitkan hakikat bahawa jaringan sendiri yang menjadi antara punca kekalahan Selangor dilakukan oleh pemain gantian, sekali gus menambah kekecewaan terhadap persembahan pasukan itu.
Menurutnya, setiap kegagalan tidak seharusnya terus dikaitkan dengan isu pengadilan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Liga Bolasepak Malaysia (MFL), sedangkan kelemahan pasukan sendiri juga perlu diakui.
“Dalam bola sepak, kita kena berani mengakui kalau pasukan sendiri memang bermain kurang baik. Kalau taktikal tidak menjadi, pemain tidak menunjukkan prestasi yang sepatutnya atau keputusan yang dibuat kurang tepat, terima hakikat dan perbaiki,” katanya.
Safiq turut mempersoalkan insiden membabitkan Nazmi Faiz Mansor yang menyaksikan pemain itu menghampiri bangku simpanan pasukan lawan sebelum tercetusnya kekecohan sehingga menyebabkan dua kad merah dilayangkan.

Selain itu, beliau membangkitkan isu isyarat tangan yang dikaitkan dengan sindiran mengenai wang terhadap pihak tertentu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai disiplin dan tingkah laku pemain sepanjang perlawanan.
Safiq turut membandingkan pendekatan Kim Pan-gon dengan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz, yang menurutnya lebih memberikan tumpuan kepada analisis perlawanan, prestasi pasukan dan perkara berkaitan bola sepak selepas tamat perlawanan.
Beliau berpandangan penyokong Selangor tidak sepatutnya terus disajikan dengan pelbagai alasan setiap kali pasukan gagal mencapai sasaran, sebaliknya mahukan bukti menerusi prestasi dan keputusan di atas padang.
“Mereka berhak mendapat lebih daripada sekadar janji dan retorik. Mereka mahukan pencapaian yang dibuktikan melalui usaha serta keputusan di atas padang,” katanya.
Kegagalan itu menyaksikan Kuching City FC mengesahkan tempat ke final Piala FA selepas menyingkirkan skuad Gergasi Merah dengan agregat 3-2.
Oleh Shahrul Qaizat




