KUCHING, 9 November: Dewan Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) digesa memasang papan tanda tambahan had berat 5 tan di persimpangan Lorong Kempas 6C dan Lorong Kempas 6 bagi memastikan pemandu kenderaan berat mengetahui sekatan yang berkuat kuasa di laluan berkenaan.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, langkah itu penting berikutan ketiadaan papan tanda had berat di persimpangan tersebut yang boleh menyebabkan pemandu tidak menyedari sekatan berkenaan.
Beliau berkata, walaupun papan tanda had berat 5 tan telah dipasang di persimpangan Jalan Kempas dan Lorong Kempas 6, keadaan berbeza di persimpangan Lorong Kempas 6C dan Lorong Kempas 6.
Menurutnya, kekurangan papan tanda itu turut menimbulkan kebimbangan penduduk apabila kenderaan berat didapati kerap menggunakan Lorong Kempas 6 sebagai jalan pintas untuk menuju ke Jalan Kempas.
Sehubungan itu, Kong berkata, pemasangan papan tanda tambahan bukan sahaja dapat memberikan maklumat lebih jelas kepada pemandu, malah membantu penduduk mengenal pasti kenderaan yang masih menggunakan laluan itu meskipun tertakluk kepada sekatan had berat.
Katanya, penduduk juga boleh merekodkan kenderaan yang melanggar sekatan berkenaan sebelum mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Jalan di kawasan perumahan tidak sepatutnya dijadikan jalan pintas oleh kenderaan berat, terutama apabila sekatan had berat telah pun ditetapkan.
“Papan tanda yang jelas serta penguatkuasaan sewajarnya amat penting bagi melindungi penduduk dan memastikan keselamatan jalan raya,” katanya.
Kong berharap MBKS dapat meneliti perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
Oleh Connie Chieng




