SUPP, PBB Bawang Assan perkukuh kerjasama hadapi PRN

Facebook
WhatsApp
KEVIN Lau Kor Jie bersama delegasi PBB Bawang Assan yang diketuai Romeo Christopher Tegong pada pertemuan di ibu pejabat SUPP di Sibu baru-baru ini.

SIBU, 9 November: Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat di peringkat akar umbi, sambil menyerahkan keputusan pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan datang kepada kepimpinan parti dan Premier Sarawak.

Beliau berkata, tumpuannya ketika ini adalah memastikan keperluan masyarakat setempat terus diberi perhatian tanpa mengira latar belakang kaum, selain memperkukuh hubungan dengan penduduk di kawasan Bawang Assan.

“Fokus kami sejak awal tetap sama, iaitu bekerja di lapangan dan berkhidmat kepada rakyat. Akhirnya, rakyat akan menilai usaha kami dan keputusan diserahkan kepada kebijaksanaan pemimpin parti serta Premier,” katanya dalam temu bual bersama Utusan Sarawak.

Dalam perkembangan berkaitan, Lau berkata pertemuan antara pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bawang Assan baru-baru ini turut memperkukuh hubungan kerjasama serta solidariti antara kedua-dua parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata, kunjungan delegasi PBB Bawang Assan yang diketuai pengerusinya, Romeo Christopher Tegong, ke ibu pejabat SUPP di Sibu bertujuan menyatakan sokongan serta mengukuhkan kerjasama di peringkat akar umbi.

Menurutnya, pertemuan itu turut menjadi platform untuk membincangkan persiapan menghadapi PRN akan datang serta komitmen bersama dalam memastikan kepentingan masyarakat pelbagai kaum terus diberi perhatian.

BARISAN pemimpin SUPP dan PBB Bawang Assan merakamkan gambar kenangan selepas pertemuan bagi memperkukuh hubungan kerjasama di peringkat akar umbi.

“Kami mahu memastikan keperluan semua masyarakat termasuk kaum Cina, Iban, Melanau dan Melayu diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Lau berkata perbincangan turut menyentuh pembangunan infrastruktur, khususnya penambahbaikan jaringan jalan raya di kawasan luar bandar bagi membuka lebih banyak peluang pembangunan sektor pertanian serta memperkukuh kegiatan ekonomi masyarakat setempat.

Beliau berkata, kedua-dua parti turut komited untuk memastikan GPS memperoleh mandat lebih besar daripada rakyat, sekali gus membolehkan Bawang Assan memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan Sibu serta mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam pada itu, Lau merakamkan penghargaan kepada delegasi PBB Bawang Assan atas kunjungan serta sokongan yang diberikan kepada SUPP.

Katanya, kedua-dua parti menghargai hubungan kerjasama yang telah lama terjalin dan akan terus memperkukuh usaha bersama demi kepentingan masyarakat setempat.

Lau mula terlibat dalam usaha pembangunan komuniti pada 2023 selepas Senator Robert menubuhkan pasukan petugas di bawah Cawangan SUPP Bawang Assan.

Pada penghujung 2024, beliau diamanahkan untuk mengambil alih jawatan pengerusi cawangan berkenaan dan terus menerajui usaha khidmat masyarakat sehingga kini.

Oleh Connie Chieng

Jentera PBB Bukit Kota bersedia hadapi PRN

KUCHING, 9 November: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di peringkat cawangan Bukit Kota telah diaktifkan dan bersedia menghadapi Pilihan