SFC ingatkan orang ramai berwaspada sepanjang musim mengawan buaya

Facebook
WhatsApp
MUSIM mengawan buaya November hingga Mac, orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada.

MIRI, 9 November: Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti berhampiran sungai, tasik dan kawasan perairan sepanjang musim mengawan buaya yang berlangsung dari November hingga Mac.

Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan bahawa buaya berkemungkinan menjadi lebih aktif dan agresif sepanjang tempoh berkenaan, sekali gus meningkatkan risiko pertembungan dengan manusia.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menjaga jarak, tidak menghampiri atau mengganggu reptilia berkenaan serta tidak memberikan makanan kepada buaya.

Mereka juga perlu sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran dan mematuhi papan tanda amaran ‘Awas Buaya’ yang dipasang di kawasan berisiko.

Bagi membantu orang ramai mengenal pasti kawasan yang mempunyai risiko kehadiran buaya, SFC turut menggalakkan penggunaan aplikasi Sarawak Croc Watch.

Aplikasi itu membolehkan pengguna mendapatkan maklumat berkaitan penampakan buaya dan mengenal pasti kawasan berisiko, sekali gus membantu mereka mengambil langkah berjaga-jaga.

Sebarang maklumat atau aduan berkaitan kehadiran buaya boleh disalurkan kepada talian hotline SFC mengikut bahagian, iaitu Kuching (019-8859996), Sibu (084-337444), Bintulu (086-339842) dan Miri (019-8290994).

SFC turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan tidak mengambil mudah risiko kehadiran buaya, khususnya ketika melakukan aktiviti berhampiran sungai dan kawasan perairan.

Oleh Liong Chai Ling

Jentera PBB Bukit Kota bersedia hadapi PRN

KUCHING, 9 November: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di peringkat cawangan Bukit Kota telah diaktifkan dan bersedia menghadapi Pilihan

Kebolehpasaran graduan IPS capai 82 peratus

KUCHING, 9 November: Institut Pertanian Sarawak (IPS) mencatat kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 82 peratus, mencerminkan keupayaan institusi itu melahirkan tenaga