KUCHING, 9 November: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di peringkat cawangan Bukit Kota telah diaktifkan dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi PBB, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pihaknya kini menunggu pengumuman calon daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, yang juga Dewan Undangan Negeri (DUN) N79 Bukit Kota persiapan di peringkat cawangan telah dilaksanakan bagi memastikan jentera parti berada dalam keadaan siap siaga menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Di peringkat cawangan, kita bersedia untuk menempuh pilihan raya ini dan kita telah pun mengaktifkan jentera pilihan raya.
“Cuma kita sedang menunggu pengumuman daripada Premier mengenai calon-calon yang akan dicalonkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-21 Institut Pertanian Sarawak, di sini, hari ini.
Abdul Rahman berkata, beliau menerima apa sahaja keputusan Premier berhubung pemilihan calon dan akan memberikan sokongan kepada individu yang dipilih parti untuk bertanding.
“Kita akan menerima apa juga penilaian Premier dan kami sebagai ahli parti memang akan menyokong sesiapa sahaja yang dicalonkan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap sokongan rakyat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), berdasarkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan negeri serta peruntukan yang diumumkan menerusi Belanjawan Sarawak 2027.
Oleh Adele Rissa





