Penguang sasar GPS raih majoriti lebih besar di Marudi

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Penguang Manggil

MARUDI, 9 November: Gabungan Parti Sarawak (GPS) disasarkan memperoleh majoriti lebih besar di kawasan Marudi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 dengan sekurang-kurangnya 60 peratus undi.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, sasaran itu memerlukan sokongan padu daripada lebih 26,400 pengundi di kawasan berkenaan.

Beliau turut menggesa masyarakat berbilang kaum di Marudi, termasuk Melayu, Iban, Cina dan Orang Ulu, supaya keluar mengundi pada 12 Disember depan bagi menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing.

“Saya berharap PRN kali ini, khususnya di kawasan Marudi, dapat mencatat kemenangan lebih besar dengan sasaran memperoleh majoriti sekurang-kurangnya 60 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Penguang menasihati golongan belia supaya tidak mudah terpengaruh dengan landskap politik dari luar Sarawak kerana keadaan politik di negeri ini mempunyai pendekatan dan keunikan tersendiri.

Menurutnya, kerajaan Sarawak telah menyalurkan peruntukan pembangunan yang besar ke kawasan Baram, dengan jumlah bagi kawasan Marudi sahaja mencecah RM4.5 bilion.

Peruntukan itu termasuk bagi pelaksanaan projek pembinaan laluan baharu Miri-Marudi-Mulu-Long Lama (MMMLL).

“Justeru, saya berharap pengundi di kawasan Marudi tidak mensia-siakan harapan Premier Sarawak untuk melihat GPS memperoleh kemenangan lebih besar pada PRN ke-13 ini, memandangkan peruntukan pembangunan yang besar telah disalurkan ke kawasan Baram,” katanya.

Selain itu, Penguang berkata beliau dijadual menyempurnakan perasmian projek sambungan Tebingan Sungai ke Kampung Dagang dan Tebingan Sungai ke Fort Hose Marudi, selain melancarkan secara simbolik pembinaan hotel tiga bintang di Marudi pada minggu depan.

Beliau berkata GPS merupakan platform terbaik untuk meneruskan agenda pembangunan Sarawak berdasarkan pelbagai kemajuan yang telah dicapai negeri ini.

Menyentuh persiapan menghadapi PRN, Penguang berkata jentera GPS di kawasan Marudi telah bersiap sedia sejak awal dan berharap segala usaha yang dilaksanakan mampu membuahkan kejayaan cemerlang.

Oleh Jiku Juguong

JPJ Sarawak perkasa keselamatan pemandu DBKU

KUCHING, 8 November: Seramai 32 pemandu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menyertai Kursus Pemanduan Berhemah dan Penyelenggaraan Kenderaan bagi meningkatkan