JULAU, 9 November: Pengorbanan anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) yang sanggup meluangkan masa dan tenaga demi menjaga keselamatan serta kesejahteraan masyarakat wajar diberikan penghargaan sewajarnya.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, anggota RELA memainkan peranan penting dalam membantu memastikan kelancaran pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk mengawal pergerakan orang ramai dan memberikan bantuan apabila diperlukan.
“Anggota RELA merupakan antara kumpulan sukarelawan yang sentiasa bersedia memberikan khidmat dan bantuan kepada masyarakat, khususnya ketika diperlukan.
“Pengorbanan anggota RELA yang meluangkan masa serta tenaga untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan komuniti wajar dihargai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Bola Tampar RELA Julau dan RELA Pakan di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entabai, baru-baru ini.
Katanya, sumbangan anggota RELA bukan sahaja tertumpu kepada aspek keselamatan, malah turut membantu memastikan suasana lebih teratur dan selesa sepanjang berlangsungnya program kemasyarakatan.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan menjaga kebajikan anggota sukarelawan bagi memastikan mereka terus bersemangat melaksanakan tugas yang diamanahkan.
“Saya percaya apabila kita membantu rakyat, kerajaan juga akan membantu kita.
“Begitu juga anggota RELA yang sentiasa menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat,” katanya.
Sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen anggota sukarelawan, Larry turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM6,000 kepada RELA Julau dan RELA Pakan.
Sumbangan itu merupakan pengiktirafan terhadap komitmen kedua-dua pasukan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada komuniti setempat.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran pertandingan bola tampar antara anggota RELA Julau dan Pakan merupakan pendekatan yang dapat menggalakkan kecergasan fizikal, selain memperkukuh hubungan sesama anggota.
Menurutnya, aktiviti sukan berkumpulan turut menyediakan ruang untuk membina persefahaman, disiplin dan semangat kerjasama yang penting dalam sesebuah organisasi sukarelawan.
Beliau berharap pertandingan tersebut dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha membentuk anggota RELA yang aktif, berdisiplin dan mempunyai semangat berpasukan.
Larry turut menggalakkan anggota RELA supaya mengekalkan komitmen terhadap tugas kesukarelawanan dan terus memberikan perkhidmatan kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Oleh Earl Anek




