UTS, Great Eastern jalin kerjasama strategik, buka peluang kerjaya kepada pelajar

Facebook
WhatsApp
NAIB Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Prof. Dr Mohammad Shahril Osman (tengah) dan Pengarah Agensi Wilayah Malaysia Timur Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad, Scott Wong Charn Yeon (dua dari kiri) menunjukkan dokumen MoU yang dimeterai antara kedua-dua pihak sambil disaksikan wakil masing-masing.

SIBU, 9 November: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) melakar satu lagi pencapaian menerusi kerjasama strategik pertamanya dengan institusi kewangan dalam sektor insurans melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad.

Naib Canselor UTS Prof Dr Mohammad Shahril Osman berkata, kerjasama itu membuka ruang lebih luas kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan langsung terhadap industri perkhidmatan kewangan, selain menyediakan peluang pembangunan kerjaya dan pembelajaran profesional.

Menurutnya, kerjasama berkenaan turut memberi penekanan kepada kepentingan literasi kewangan dalam kalangan pelajar, sejajar dengan keperluan membentuk kesedaran mengenai pengurusan kewangan sejak di bangku pengajian.

“Kesedaran mengenai pengurusan kewangan perlu dibentuk sejak peringkat awal. Justeru, MoU ini hadir pada masa yang tepat memandangkan literasi kewangan semakin penting dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah,” katanya pada sidang media di UTS, hari ini.

Selain aspek pendidikan dan literasi kewangan, kerjasama itu turut menyediakan peluang kepada pelajar untuk menyertai Great ACE Apprentice Programme yang menawarkan elaun RM1,000 sebulan, tertakluk kepada kelayakan dan syarat program.

Pengarah Agensi Wilayah Malaysia Timur Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad Scott Wong Charn Yeon berkata, program berkenaan bukan sahaja menawarkan bantuan kewangan, malah memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman praktikal dalam industri perkhidmatan kewangan.

Beliau berkata, menerusi program itu, peserta berpeluang membina kemahiran komunikasi, pembentangan, perancangan kewangan dan kepimpinan melalui pengalaman serta bimbingan profesional industri.

“Nilai sebenar program ini jauh melangkaui RM1,000. Ia bukan sekadar mengenai jumlah yang boleh diperoleh pelajar, tetapi apa yang dapat mereka pelajari, alami dan capai,” katanya.

Menurut Scott, peserta turut berpeluang memahami keperluan pelanggan serta meningkatkan keyakinan diri menerusi bimbingan profesional berpengalaman, pemimpin agensi dan usahawan dalam industri berkenaan.

Beliau berkata, kelayakan akademik sahaja tidak lagi mencukupi untuk menjamin kesiapsiagaan graduan menghadapi alam pekerjaan, sebaliknya perlu dilengkapi pengalaman praktikal, kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pemikiran keusahawanan.

Sehubungan itu, kerjasama berkenaan dilihat selari dengan aspirasi Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada pembangunan tenaga kerja berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing.

Scott berkata, MoU itu juga membuka peluang kepada kedua-dua organisasi melaksanakan pelbagai aktiviti bersama termasuk ceramah kerjaya, bengkel literasi kewangan, program keusahawanan, pembangunan kepimpinan serta peluang penajaan.

Beliau berharap kerjasama itu menjadi permulaan kepada hubungan jangka panjang yang produktif antara UTS dan Great Eastern, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang pembangunan profesional serta manfaat kepada golongan pelajar.

Oleh Tarani Lanting