KUCHING, 9 November: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan jalan raya menerusi Ops Patuh sempena perayaan Deepavali 2026 bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan.
JPJ Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, operasi itu melibatkan rondaan, tinjauan serta pemantauan di lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan, termasuk pada sebelah malam.

Selain pemantauan jalan raya, pemeriksaan bas turut dilaksanakan di terminal sebelum kenderaan berkenaan memulakan perjalanan bagi memastikan aspek keselamatan serta pematuhan terhadap peraturan pengangkutan awam dipenuhi.
Langkah itu bertujuan mencegah kejadian tidak diingini, selain melindungi keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

Dalam pada itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengamalkan pemanduan berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas serta sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran ketika berada di jalan raya.
Pengusaha dan pemandu bas juga diingatkan agar mengutamakan keselamatan serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
JPJ Sarawak akan meneruskan usaha penguatkuasaan dan pemantauan secara berterusan bagi memastikan perjalanan sepanjang musim perayaan Deepavali berlangsung dengan selamat dan lancar.




