SPAOH, 8 November: Seramai 238 peserta daripada 17 ranting Wanita dan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.37 Bukit Saban menyertai Program Sukaneka Wanita dan Belia yang berlangsung di Gelanggang Futsal Spaoh, hari ini.
Program yang berlangsung dari 7.30 pagi hingga 2.00 petang itu dirasmikan oleh Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai.
Penganjuran program berkenaan bertujuan memupuk semangat kerja berpasukan, mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan ahli ranting Wanita dan Belia PBB di kawasan berkenaan.
Selain itu, aktiviti berkenaan turut menjadi platform membudayakan gaya hidup sihat menerusi kegiatan riadah, di samping menggalakkan penglibatan aktif golongan wanita dan belia dalam aktiviti kemasyarakatan yang positif.
Natasha dalam ucapannya menyeru semua ahli jawatankuasa Ranting Wanita agar sentiasa bersiap sedia dan memainkan peranan masing-masing dalam menggerakkan jentera parti menjelang pilihan raya akan datang.
Beliau turut menekankan kepentingan semangat kebersamaan, kerjasama dan komitmen dalam memastikan setiap pergerakan di peringkat akar umbi terus aktif.
Program itu bukan sahaja mengisi masa dengan aktiviti riadah, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan antara ahli serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan Wanita dan Belia PBB N.37 Bukit Saban.
Oleh Adi Safarman



