22 murid SJKC Chung Hua Debak khatam al-Quran

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 22 murid SJKC Chung Hua Debak telah khatam al-Quran. Foto: PK N35 Saribas

DEBAK, 8 November: Generasi muda perlu terus mendampingi al-Quran dan menjadikannya panduan hidup dalam membentuk akhlak mulia, disiplin serta sahsiah terpuji, bukan sekadar menamatkan bacaan kitab suci itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, Majlis Khatam al-Quran bukan sekadar meraikan kejayaan murid menyempurnakan bacaan, malah menjadi platform menyemai kecintaan terhadap al-Quran serta menghayati ajarannya dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, kejayaan seseorang murid tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah, disiplin dan nilai kerohanian.

“Saya berharap agar anak-anak sekalian terus mendampingi al-Quran dan menjadikannya panduan dalam membentuk akhlak yang mulia.

“Jadikan kejayaan dalam pendidikan bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik, malah turut merangkumi pembentukan sahsiah, disiplin dan nilai kerohanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Debak (SJKC Chung Hua Debak) Tahun 2026, di sini, semalam.

DATUK Dr Mohammad Razi Sitam semasa menyampaikan sijil penyertaan pada Majlis Khatam al-Quran SJKC Chung Hua Debak Tahun 2026. Foto: PK N35 Saribas

Pada majlis itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada 22 murid Tahun Lima dan Tahun Enam yang berjaya menyempurnakan bacaan al-Quran, selain merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah atas penganjuran program berkenaan.

Katanya, kejayaan itu memperlihatkan kesungguhan dan komitmen murid, hasil bimbingan guru-guru khususnya guru Pendidikan Islam serta sokongan berterusan ibu bapa.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memainkan peranan dalam membimbing anak-anak mendalami al-Quran.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada guru-guru khususnya guru Pendidikan Islam serta ibu bapa yang sentiasa membimbing dan memberikan sokongan kepada anak-anak.

“Semoga usaha bersama ini dapat melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab,” ujarnya yang juga Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran, sekali gus memastikan nilai dan ajarannya terus dihayati serta diamalkan oleh generasi muda.

Oleh Adi Safarman