MARUDI, 8 November: Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan Sarawak mencapai matlamat menjadikan negeri ini sebagai wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, pembangunan pendidikan perlu terus diperkukuh bagi melahirkan generasi berpengetahuan dan berkemahiran yang mampu menyumbang kepada kemajuan negeri.
Menurutnya, masyarakat khususnya di luar bandar perlu memberikan keutamaan terhadap pendidikan anak-anak supaya mereka mempunyai peluang yang sama untuk bersaing dengan pelajar di kawasan bandar.
“Saya percaya lebih 200 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Good Shepherd Marudi mampu mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran mereka pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Good Shepherd sempena sambutan ulang tahun ke-81 sekolah itu di Dewan Sri Permata, SK Good Shepherd Marudi, malam tadi.
Penguang yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi berkata, pelaksanaan inisiatif pendidikan tinggi percuma oleh kerajaan Sarawak mulai 2026 membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak yang layak melanjutkan pengajian di universiti milik kerajaan negeri.
Katanya, inisiatif itu merangkumi bidang pengajian tertentu termasuk teknologi, kejuruteraan, undang-undang dan perakaunan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar supaya memilih bidang pengajian berdasarkan keperluan pasaran pekerjaan dan prospek kerjaya, bukan semata-mata kerana sesuatu jurusan dianggap mudah untuk lulus.
“Jangan memilih jurusan yang mudah untuk lulus, sebaliknya kita perlu memikirkan bidang yang diperlukan pada masa hadapan, lebih-lebih lagi ketika kerajaan Sarawak memberikan penekanan terhadap ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan dan sains,” katanya.
Dalam pada itu, Penguang berkata, penubuhan sekolah di bawah Yayasan Sarawak turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperluas akses pendidikan berkualiti, khususnya dalam bidang Sains dan Teknologi.

Beliau menggalakkan pelajar luar bandar memanfaatkan peluang pendidikan yang disediakan supaya mereka tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi dan mampu bersaing pada peringkat lebih tinggi.
Menyentuh bantuan kepada sekolah mubaligh, Penguang yang juga ahli lembaga Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berkata, kerajaan Sarawak terus memberikan perhatian terhadap keperluan institusi pendidikan berkenaan.
Katanya, peruntukan yang disalurkan melalui UNIFOR perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menaik taraf kemudahan sekolah, dewan dan gereja mengikut keperluan.
“Inilah dasar kerajaan kita pada hari ini dan kita harus mengekalkannya serta memberikan kerjasama kepada kerajaan sedia ada,” katanya.
Beliau turut berkata, dasar kerajaan Sarawak yang menitikberatkan kebajikan rakyat, pembangunan pendidikan dan usaha menarik pelaburan luar telah membantu meningkatkan kedudukan negeri ini dalam pembangunan ekonomi moden.
Menurutnya, kesinambungan dasar pembangunan berkenaan penting bagi memastikan Sarawak terus berkembang dan rakyat dapat menikmati manfaat kemajuan ekonomi.
Turut berucap pada majlis itu Guru Besar SK Good Shepherd Marudi, Geraldene Subang dan Yang Dipertua PIBG, Forones Petrus.
Hadir sama Pegawai Tadbir Sarawak (SAO), Edwin Reagan; Datin Monica Ukong Jaya serta wakil Lembaga Sekolah dan Gereja Good Shepherd, Michael Bus.
Oleh Jiku Juguong




