KABONG, 8 November: Graduasi bukan penamat perjalanan pendidikan, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menegaskan para pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong perlu terus berusaha gigih, mengekalkan disiplin dan memburu kecemerlangan dalam peperiksaan yang bakal dihadapi.
Menurut beliau, setiap pelajar perlu memiliki tekad yang tinggi, disiplin yang kukuh serta kesungguhan dalam menghadapi cabaran pendidikan demi membina masa depan yang lebih cerah.
“Majlis graduasi yang diraikan hari ini bukanlah noktah kepada perjalanan pendidikan, tetapi satu langkah baharu untuk mencapai impian dan cita-cita yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi SMK Kabong Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Balai Polis Kabong semalam.
Chee Kadir turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua graduan atas pencapaian yang diraih serta berharap mereka terus mengekalkan semangat untuk melakar kejayaan yang lebih membanggakan pada masa hadapan.
Majlis penuh bermakna itu diadakan bagi meraikan pencapaian pelajar Tingkatan Lima serta menghargai usaha, komitmen dan dedikasi mereka sepanjang menempuh alam persekolahan.
Hadir sama Pengetua SMK Kabong, Ismail Mohamad; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Saratok, Aziz Morshidi; dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kabong, Noraidi Shariee.
Turut memeriahkan majlis ialah barisan guru, wakil agensi kerajaan, ibu bapa serta para graduan yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan perarakan masuk graduan dan tetamu kehormat sebelum diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwi dan Kami Berbakti, bacaan ikrar Rukun Negara, doa serta ucapan daripada wakil graduan dan pihak sekolah.
Suasana bertambah meriah dengan ucapan perasmian oleh Chee Kadir, gimik perasmian serta persembahan khas Permata Kabong yang mencuri perhatian para hadirin.
Selain meraikan graduan, pelbagai pengiktirafan turut disampaikan menerusi Anugerah Kokurikulum, Anugerah Hal Ehwal Murid (HEM), Anugerah Kurikulum dan Anugerah Khas sebagai penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang.
Kemuncak acara menyaksikan graduasi pelajar Tingkatan Lima yang berlangsung dalam lima sesi, diselang-selikan dengan persembahan kebudayaan dan montaj kenangan sepanjang persekolahan mereka.
Chee Kadir berharap kejayaan yang dikecapi para graduan akan menjadi pemangkin untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta merebut pelbagai peluang yang tersedia.
“Saya berharap SMK Kabong terus melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak mulia, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negeri Sarawak,” ujarnya.
Majlis berakhir dengan penyampaian cenderamata, tayangan montaj dan nyanyian lagu Fly Kenyalang Fly, sekali gus meninggalkan kenangan manis buat para graduan, guru dan ibu bapa yang hadir menyaksikan detik bersejarah tersebut.
Oleh Adi Safarman





