Amalan pengkhususan kerusi Parlimen dan DUN era Taib, Adenan diteruskan di PBB – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PBB di Dewan Kampung Stakan Melayu, hari ini.

KOTA SAMARAHAN, 8 November: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meneruskan amalan pengkhususan peranan wakil rakyat di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang diamalkan ketika era kepimpinan Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan itu menjadi antara aturan yang diikuti beliau dalam menentukan peranan wakil rakyat parti berkenaan.

Beliau yang juga Presiden PBB berkata, amalan tersebut mempunyai sejarah tersendiri dalam kepimpinan parti itu, termasuk ketika Allahyarham Taib dan Adenan menerajui PBB serta pentadbiran Sarawak.

“PBB selalunya kita ada DUN dengan Parlimen. Waktu arwah Tun Taib, Taib memilih kedua-dua Parlimen dan DUN. Selepas itu, beliau (Tun Taib) mengosongkan Parlimen dan hanya fokus pada DUN. Jadi untuk Tok Nan pun demikian juga. Jadi saya mengikut aturan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan tergesa-gesa mengumumkan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, sebaliknya mengambil masa untuk memastikan pemilihan dilakukan secara teliti.

Beliau yang juga Pengerusi GPS berkata, gabungan itu masih mempunyai masa sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan pada 28 November ini.

“Tunggu dahulu, kita hati-hati. Kita tidak rushing. Penamaan calon 28 November, ada masih ada kira-kira dua minggu lagi,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PBB di Dewan Kampung Stakan Melayu, hari ini.

Oleh Afiq Sallehi