KUCHING: Sambutan Hari Wanita 2021 bertemakan ‘Ekspresi Tinta Wanita’ anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak akan diadakan pada 23 November kelak.
Sambutan Hari Wanita Sarawak adalah merupakan sebuah program tahunan. Objektif program ini adalah untuk meraikan dan menghargai pencapaian serta sumbangan Wanita Sarawak dalam pelbagai bidang.
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, selaras dengan tema ‘Ekspresi Tinta Wanita’ sebuah naskah terbitan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak akan dilancarkan dengan tajuk ‘Sarawak Women in Scholarly Writing’.
“Majlis ini akan dihadiri oleh Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib sebagai tetamu kehormat pada 20 November 2021 kelak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).
“Manakala bagi Majlis Sambutan Hari Wanita akan dihadiri oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang pada 23 November di BCCK.”
Jelas Fatimah, program ini dijangka akan dihadiri 200 orang tertakluk pada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan Majlis Pelancaran Buku ‘Women in Scholarly Writing’ dan Sambutan Hari Wanita 2021 (HW21) akan disiarkan secara langsung melalui saluran rasmi Facebook Unit Komunikasi Awam (UKAS) dan saluran Youtube UKAS Channel dan juga melalui aplikasi Zoom.
“Sambutan HW21 akan turut disertai oleh empat puluh (40) daerah di seluruh Sarawak secara serentak melalui live streaming dan aplikasi Zoom dan salah satu pengisian yang akan diadakan adalah Sesi Interaksi Ketua Menteri bersama Wanita dengan Daerah.
“Sebanyak enam (6) tokoh wanita akan dianugerahkan mengikut kategori masing-masing iaitu Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib, Anugerah Ketua Menteri Kepimpinan Wanita, Anugerah Ketua Menteri Usahawan Wanita, Anugerah Ketua Menteri Penggiat Sosial Wanita, Anugerah Ketua Menteri Pencapaian Khas (Wanita dalam Bidang Penulisan) dan Anugerah Pertubuhan NGO Cemerlang,” ujar Fatimah semalam di Wisma Wanita.
Tambah beliau, Sambutan Hari Wanita akan diadakan pada 8 Mac setiap tahun bermula pada tahun hadapan.
Oleh AZREEN KERIA