BINTANGOR, 8 November: Penduduk Perumahan Cina Nam Kiew kini mendapat peluang mengakses pelbagai perkhidmatan, khidmat nasihat dan bantuan secara langsung menerusi Program Mobile Service To U tanpa perlu berulang-alik ke pejabat agensi berkaitan.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pendekatan membawa perkhidmatan terus kepada komuniti bertujuan memudahkan urusan harian penduduk, khususnya mereka yang berdepan kesukaran mendapatkan bantuan melalui saluran biasa.
“Program ini merupakan salah satu inisiatif untuk mendekati masyarakat setempat secara lebih dekat serta memberi peluang kepada penduduk untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan, khidmat nasihat dan bantuan secara langsung tanpa perlu menghadapi kesukaran untuk pergi ke pejabat berkaitan.
“Pendekatan turun padang seperti ini amat penting bagi memahami keadaan sebenar yang dihadapi oleh rakyat, di samping memastikan suara dan keperluan masyarakat sentiasa mendapat perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Mobile Service To U di Perumahan Cina Nam Kiew semalam.
Ding turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk bagi mendapatkan gambaran mengenai isu setempat, termasuk perkara yang memerlukan penyelarasan dengan jabatan atau agensi bertanggungjawab.
“Setiap isu dan maklum balas yang disampaikan akan diberi perhatian sewajarnya serta disalurkan kepada pihak dan agensi berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
“Komitmen untuk terus mendekati rakyat, mendengar suara masyarakat dan membantu menyelesaikan permasalahan setempat akan diteruskan demi menjaga kebajikan serta meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan Meradong,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Perumahan Cina Nam Kiew atas sambutan dan kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung.
Katanya, penglibatan masyarakat dalam program ini penting bagi memastikan saluran komunikasi antara penduduk dan pihak yang menyediakan perkhidmatan terus terbuka.
Pendekatan berasaskan komuniti juga membolehkan urusan penyampaian perkhidmatan dilaksanakan dengan lebih dekat kepada kumpulan sasaran, selain mengurangkan halangan penduduk untuk mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat.
Turut hadir, Pemanca Yii Hee Sieng, Penghulu Ley Kok Lun, Kapitan Yong Mang Seng, Kapitan Ham Kok Chii dan Kapitan Wong Mee King.
Oleh Earl Anek





