Artis program realiti perlu bersiap hadapi ujian industri – Pasya

Facebook
WhatsApp
PENYANYI Pasya (kiri) atau nama sebenarnya Faizul Ashraff Fauzi, 32, dan Ucop (dua, kiri) ketika ditemui pada sidang media pelancaran single dan video klip Tak Tertanggung Lagi dan Aku Tekad milik Ucop serta perkenalan Aryan Putra Entertainment yang berasal dari Limbang, Sarawak, baru-baru ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 November: Pelapis baharu industri muzik yang lahir daripada program realiti perlu mempunyai ketahanan mental tinggi serta tidak mudah merajuk atau hilang arah apabila berdepan fasa penurunan populariti selepas tamat program disertai mereka, kata penyanyi Pasya.

Pasya, atau nama sebenarnya Faizul Ashraff Fauzi, 32, yang pernah menyertai program Mentor, berkata tumpuan yang diterima semasa muncul di kaca televisyen sering kali membuatkan artis baharu alpa dan berasa diri mereka sudah berada di puncak kejayaan sebelum berdepan hakikat sebenar apabila perhatian umum perlahan-lahan merosot.

“Tiga bulan kita dapat perhatian, buka TV muka sendiri terpampang, orang berebut tangkap gambar dengan kita… tapi habis program, selepas sebulan atau dua, tiga bulan, perhatian itu makin kurang. Di situlah bermulanya ujian,” katanya kepada Bernama selepas sidang media pelancaran single dan video muzik terbaharunya, Tak Tertanggung Lagi baru-baru ini.

PENYANYI Pasya (kanan) dan Ucop (dua, kanan) pada sidang media pelancaran single dan video klip Tak Tertanggung Lagi dan Aku Tekad milik Ucop serta perkenalan Aryan Putra Entertainment yang berasal dari Limbang, Sarawak, baru-baru ini. Foto BERNAMA

Justeru, beliau menasihati artis baharu agar tidak mengambil jalan mudah dengan pulang ke kampung atau menyalahkan keadaan apabila nama mereka mula sepi, sebaliknya perlu bijak memanfaatkan setiap peluang publisiti menerusi persediaan yang matang.

Pasya turut mengingatkan golongan pelapis agar menolak sifat bongkak dan sentiasa merendahkan diri untuk berguru dengan artis yang lebih berpengalaman atau pernah melalui fasa kejatuhan dalam industri.

Sementara itu, beliau mendedahkan perkongsiannya dengan penyanyi Mimi Fly membuka matanya tentang erti ketabahan sebenar dalam mengharungi liku-liku industri muzik tanpa mengenal erti putus asa.

PENYANYI Pasya (kanan) bersama Ucop bergambar selepas ditemu bual wartawan Bernama pada sidang media pelancaran single dan video klip Tak Tertanggung Lagi dan Aku Tekad milik Ucop serta perkenalan Aryan Putra Entertainment yang berasal dari Limbang, Sarawak, baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Bila saya berbincang dengan Mimi Fly mengenai perjalanannya dari dulu sampai sekarang, memang hebat. Apa yang dia pesan kepada saya, jangan sekali-kali putus asa, teruskan berusaha dan pastikan saya mempunyai tulang belakang (sokongan) yang kuat,” katanya yang kini dibantu pasukan di belakang tabir merangkumi pengurus, pembantu peribadi dan kru media sebagai tunjang kerjayanya.

Pasya tampil mempertaruhkan single terbaharu bertajuk Tak Tertanggung Lagi yang mengetengahkan kesinambungan kisah kecurangan daripada karya terdahulunya, Aku Bukan Cinta.

“Single ini adalah ciptaan sepenuhnya oleh Aryan Putra yang diinspirasikan daripada kisah benar seorang sahabat yang melalui episod kegagalan dalam perkahwinan,” katanya sambil memaklumkan muzik video lagu tersebut boleh ditonton di platform YouTube.- Bernama