ALPH Marudi digesa lebih proaktif perkukuh kerjasama dengan hospital

Facebook
WhatsApp
KOMUNITI setempat menyertai aktiviti senamrobik sebagai tanda sokongan terhadap Program Kenali Kesihatan Diri Anda di Marudi, hari ini.

MARUDI, 7 November: Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Marudi digesa supaya terus memainkan peranan secara proaktif dalam memperkukuh kerjasama dengan pihak pengurusan hospital bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

Pengerusinya, Siti Naquiah Abdullah berkata, kerjasama berpasukan, integriti dan sikap turun padang merupakan antara elemen penting bagi memastikan ALPH dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan.

Menurutnya, ALPH bukan sekadar berperanan sebagai badan simbolik, sebaliknya menjadi penghubung antara pihak hospital dengan komuniti setempat, khususnya dalam menyampaikan maklumat serta mengetengahkan keperluan pesakit dan waris.

Katanya, pihak ALPH sentiasa mengambil maklum pandangan, cadangan dan maklum balas pesakit serta waris untuk disampaikan kepada pihak pengurusan hospital, termasuk berkaitan kebajikan pesakit kurang berkemampuan dan penambahbaikan kemudahan hospital.

“Menerusi peranan ini, kita berharap dapat terus membantu pihak hospital menangani pelbagai beban dan cabaran yang dihadapi, di samping memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selesa dan penuh empati,” katanya.

KENANGAN… Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Marudi merakam gambar kenangan bersama warga Hospital Marudi pada Program Kenali Kesihatan Diri Anda di Marudi, hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua ahli ALPH supaya menyalurkan sebarang cadangan membina melalui saluran rasmi secara berhemah demi kepentingan semua pihak.

“Kepada pihak pengurusan hospital, pintu kami sentiasa terbuka untuk mendengar dan mengenal pasti ruang yang boleh kami bantu, sama ada dari sudut kebajikan pesakit mahupun penganjuran program bersama komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kenali Kesihatan Diri Anda anjuran ALPH Marudi dengan kerjasama Hospital Marudi di Dewan Siarah Marudi, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Hospital Marudi, Dr Abraham Lim Chin Kok, serta ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum.

Program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk senamrobik, ceramah kesihatan, lawatan ke pameran dan reruai kesihatan serta cabutan tiket bertuah.

Oleh Jiku Juguong