SEBAUH, 7 November: Masyarakat perlu menggunakan internet secara berhemah dan bertanggungjawab bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu, penipuan serta kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian sosial.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, internet merupakan platform yang mampu memberikan pelbagai manfaat sekiranya digunakan dengan betul, namun penyalahgunaannya boleh mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat.
Beliau menyifatkan internet sebagai pedang bermata dua yang boleh membawa manfaat atau kemudaratan bergantung kepada cara penggunaannya.
“Jika digunakan dengan betul, internet mampu memberikan pelbagai manfaat, tetapi jika disalahgunakan, teknologi itu boleh membawa kerugian dan kesan buruk kepada masyarakat.
“Kesedaran mengenai penggunaan internet secara berhemah perlu dipertingkatkan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak kerana terdapat pelbagai kandungan yang tidak ditapis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media usai majlis perasmian Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 Daerah Sebauh di Rumah Bare Langgi, Sungai Nangka, di sini, hari ini.
Menurutnya, pengguna perlu menyemak kesahihan sesuatu maklumat dengan pihak yang lebih mengetahui sebelum berkongsi bagi mengelakkan penyebaran berita tidak benar.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menggunakan internet untuk menyebarkan fitnah, bergosip atau melakukan serangan peribadi yang boleh menjejaskan reputasi individu.
Dalam pada itu, Rundi berkata, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut meningkatkan risiko penyebaran kandungan palsu, termasuk gambar yang dimanipulasi sehingga boleh mengelirukan orang ramai.
Sehubungan itu, beliau berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak berkaitan terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran keselamatan digital, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan penduduk luar bandar.
Oleh Carolyne Utih





