PETRA JAYA, 7 November: Kestabilan politik dan dasar pembangunan yang jelas menjadi antara faktor utama menjadikan Sarawak terus mendapat keyakinan pelabur, termasuk syarikat antarabangsa serta wakil diplomatik negara asing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, keadaan politik yang stabil di Sarawak membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan, sekali gus meningkatkan keyakinan pihak luar untuk menjalin hubungan dan meneroka peluang pelaburan di wilayah ini.
Beliau mengambil contoh kehadiran syarikat teknologi Jepun, SoftBank, yang datang ke Sarawak untuk bertemu Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selain kunjungan beberapa duta dari eropah dan negara lain.
“Ini kerana dasar kita jelas dan kestabilan politik kita kukuh. Kita dilihat sebagai sebuah negeri dalam Malaysia yang mempunyai kedudukan yang sangat baik dari segi keyakinan pelabur. Itulah yang perlu kita jaga,” katanya.
Menurut Fadillah, kestabilan politik di Sarawak berbeza dengan perkembangan politik di beberapa negeri di Semenanjung yang menyaksikan perbezaan pandangan dan pendirian antara parti politik, termasuk dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Sarawak perlu terus memperkukuh kedudukan politik dan pentadbirannya supaya tidak terlalu bergantung kepada Semenanjung serta Kerajaan Persekutuan, termasuk dalam aspek pembangunan dan keupayaan menjaga keselamatan sempadan.
Dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, Fadillah berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyasarkan kemenangan di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahu memenangi kesemua 47 kerusi yang ditandinginya dengan majoriti besar.

Menurutnya, mandat besar penting bagi membolehkan GPS mempunyai kekuatan politik untuk menentukan agenda pembangunan Sarawak mengikut acuan sendiri.
“Apabila kita kuat, barulah kita dapat menentukan agenda untuk menjaga Sarawak. Kita sendiri yang menentukan agenda bagi memastikan Sarawak dibangunkan mengikut acuan kita,” katanya.
Beliau berkata, kemenangan besar juga penting bagi memastikan kesinambungan perancangan pembangunan yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Abang Johari, termasuk usaha mendapatkan sumber kewangan bagi membiayai projek infrastruktur dan bantuan kepada rakyat.
Fadillah turut menyentuh usaha Premier mendapatkan sumber pendapatan baharu, termasuk melalui penubuhan dana berdaulat serta pelbagai inisiatif lain bagi memperkukuh kedudukan kewangan Sarawak.
Beliau berharap rundingan teknikal berkaitan Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dapat diselesaikan bagi membolehkan Sarawak memperoleh tambahan pendapatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawak Kita Empun 3.0 di Pusat Konvensyen Penview Demak, di sini.
Fadillah turut menggesa jentera parti, khususnya di Zon Kuching, supaya bekerja keras dan bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan besar GPS pada PRN Sarawak ke-13, 12 Disember ini.
Oleh Afiq Sallehi





