BUENOS AIRES, 6 November: Harga kopi Brazil berpotensi meningkat pada 2027 susulan fenomena El Nino yang dijangka menjejaskan hasil pengeluaran dan kualiti biji kopi negara itu, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik seorang profesor di Universiti Negeri Londrina.
Menurut ramalan Pusat Pemantauan dan Pencegahan Bencana Alam Kebangsaan Brazil (CEMADEN), fenomena El Nino berkemungkinan berterusan sekurang-kurangnya sehingga suku pertama 2027, dengan intensiti sangat tinggi antara November hingga Januari.
Fenomena iklim itu berpotensi mengubah corak taburan hujan dan suhu secara ketara di beberapa kawasan di Brazil.
“El Nino boleh menjadi faktor kritikal yang mempengaruhi hasil dan kualiti kopi. Tempoh antara Oktober hingga Februari dijangka menyaksikan hujan lebat, bertepatan dengan musim pembungaan di beberapa kawasan penanaman kopi Arabica seperti Minas Gerais dan Sao Paulo, selain kekurangan hujan yang serius di utara Espirito Santo dan selatan Bahia.
“Keadaan ini boleh menyebabkan paras air takungan yang digunakan untuk pengairan menurun ketika buah kopi Canephora sedang membesar. Justeru, terdapat kemungkinan kualiti dan pengeluaran kopi merosot, sekali gus mendorong kenaikan harga,” kata Marta de Toledo Benassi.
Perubahan iklim juga menimbulkan risiko jangka panjang terhadap industri kopi Brazil.
Menurut Benassi, peningkatan suhu boleh menyebabkan beberapa kawasan yang secara tradisinya digunakan untuk penanaman kopi Arabica tidak lagi sesuai untuk tanaman itu pada masa hadapan.
Beliau berkata peluasan penanaman kopi Robusta merupakan antara penyelesaian yang boleh dipertimbangkan memandangkan varieti itu lebih berdaya tahan terhadap suhu tinggi dan mampu menghasilkan pengeluaran yang lebih banyak.
Bagaimanapun, varieti kopi berkenaan juga tidak terkecuali daripada ancaman iklim kerana sensitif terhadap kemarau dan bergantung kepada sistem pengairan di sesetengah kawasan.
Pada masa sama, Benassi menegaskan bahawa Brazil secara tradisinya berusaha memastikan perdagangan antarabangsa kekal stabil serta memenuhi komitmen eksportnya. – Bernama





