Jangan keruhkan hubungan ketika PRN, kerjasama mungkin diperlukan di peringkat Persekutuan

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, hari ini. Foto AI

PETRA JAYA, 6 November: Parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 diingatkan supaya tidak mengeruhkan hubungan sepanjang kempen kerana kerjasama mungkin diperlukan semula di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, parti-parti yang bertanding perlu melihat pilihan raya negeri dalam konteks lebih luas memandangkan hubungan politik selepas pilihan raya juga penting bagi memastikan kestabilan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, walaupun setiap parti mempunyai hak untuk bertanding dan berkempen, mereka perlu mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan bibit kebencian serta menjejaskan hubungan antara parti pada masa hadapan.

“Pilihan raya bukan sekadar mengenai negeri. Selepas ini kita akan berhadapan dengan pilihan raya Parlimen dan selepas itu, mungkin kita memerlukan kerjasama untuk membawa kestabilan kepada kerajaan.

“Itulah sebabnya kita mempunyai kerajaan perpaduan sekarang. Jadi, lihatlah perkara ini secara mendalam.

“Jangan sampai ketika berkempen dalam pilihan raya negeri, kita menanam bibit kebencian antara satu sama lain sehingga menimbulkan rasa curiga apabila perlu bekerjasama semula dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media susulan pengumuman tarikh penting PRN Sarawak Ke-13 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Mengulas kemungkinan PRN kali ini menyaksikan persaingan antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Abdul Karim berkata, pertandingan tidak semestinya terhad kepada kedua-dua parti berkenaan.

Katanya, DAP mempunyai penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain kemungkinan wakil rakyat di peringkat Parlimen turut mengambil bahagian dalam pilihan raya negeri.

Beliau turut menyentuh kemungkinan seorang Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Timbalan Menteri Persekutuan bertanding pada PRN kali ini.

Menurutnya, setiap individu yang memenuhi syarat mempunyai hak untuk bertanding dan GPS tidak boleh menghalang mana-mana pihak daripada menggunakan hak berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan parti-parti yang berhasrat mencabar GPS supaya mempertimbangkan kesan persaingan politik di peringkat negeri terhadap hubungan kerjasama di peringkat Persekutuan kelak.

Abdul Karim berkata, parti-parti berkenaan juga perlu menilai penerimaan pengundi di kawasan masing-masing sebelum membuat keputusan untuk bertanding.

“Ini hak rakyat Sarawak untuk menentukan siapa yang mereka mahukan, sama ada GPS, DAP atau PKR.

“Lihatlah keadaan di lapangan dan buat kajian sendiri. Jika sambutan rakyat masih memihak kepada GPS, tidak perlulah bertanding di kawasan berkenaan,” katanya.

PRN Sarawak Ke-13 akan menyaksikan hari penamaan calon pada 28 November, undi awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember 2026, dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Oleh Shahrul Qaizat