PETRA JAYA, 6 November: Pengurusan sumber dan kekayaan negeri dijangka menjadi antara perkara yang mendapat perhatian dalam perbincangan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, selari dengan perkembangan pembangunan serta kedudukan ekonomi Sarawak ketika ini.
Ketua Penerenagan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, landskap perbincangan pilihan raya di Sarawak kini turut merangkumi persoalan lebih luas mengenai bagaimana sumber negeri dapat diuruskan secara berkesan demi memastikan pembangunan dan kemakmuran rakyat terus dipertingkatkan.
Menurutnya, isu berkaitan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan tanah masih wujud serta terus menjadi perkara yang perlu diberi perhatian, namun perbincangan pilihan raya sebelum ini turut memperlihatkan perubahan dari segi penekanan terhadap isu pembangunan dan pengurusan sumber negeri.
“Pada pilihan raya negeri, Parlimen mahupun pilihan raya umum sebelum ini, setiap kali pilihan raya berlangsung, isu yang sering menjadi perhatian ialah NCR dan masalah tanah.
“Isu tanah memang masih ada dan kita tidak akan dapat menghapuskannya sepenuhnya, tetapi persoalan lebih besar sekarang ialah bagaimana kita hendak menguruskan sumber negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media susulan pengumuman tarikh penting PRN Sarawak Ke-13 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, keupayaan kerajaan menguruskan hasil negeri dengan baik penting bagi memastikan pelbagai perancangan pembangunan dan inisiatif kebajikan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Katanya, peningkatan hasil negeri sejak kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengambil alih pentadbiran turut membolehkan kerajaan menyediakan belanjawan yang lebih besar.
“Untuk membentangkan belanjawan yang besar, kita mesti mempunyai sumber kewangan. Kita tidak mungkin dapat menyediakan belanjawan yang baik tanpa hasil yang mencukupi.
“Daripada situ, kita boleh melihat bagaimana kerajaan menguruskan negeri dari segi kewangan dan pentadbiran,” katanya.
Mengulas mengenai penggunaan sentimen perkauman dalam kempen pilihan raya, Abdul Karim berkata, beliau percaya rakyat mampu membuat penilaian sendiri berdasarkan maklumat dan rekod setiap parti politik.
Katanya, pengundi perlu menilai pelbagai aspek secara pragmatik dan analitikal sebelum menentukan pilihan masing-masing.
Beliau berkata, antara perkara yang wajar diberikan perhatian termasuk keupayaan menguruskan sumber negeri, menjana pendapatan serta memastikan pembangunan dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.
PRN Sarawak Ke-13 akan menyaksikan hari penamaan calon pada 28 November, undi awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember 2026.
Oleh Shahrul Qaizat




