KUCHING, 6 November: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November 2026 sebagai hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pengerusi SPR, Dato Sri Ramlan Harun, mengumumkan perkara itu pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas bagi urusan PRN Sarawak Ke-13, hari ini.
Menurut jadual yang diumumkan, hari pengundian awal ditetapkan pada 8 Disember 2026, manakala hari mengundi pula akan berlangsung pada 12 Disember 2026.
Penetapan tarikh berkenaan membuka secara rasmi fasa pelaksanaan PRN Sarawak Ke-13 yang menyaksikan rakyat negeri ini bakal memilih wakil rakyat bagi 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
PRN kali ini diadakan susulan pembubaran DUN Sarawak Ke-19 yang berkuat kuasa pada 26 Oktober lalu, sekali gus memberi laluan kepada proses pilihan raya bagi menentukan komposisi kerajaan negeri untuk penggal seterusnya.
Pembubaran itu mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, selepas pengumuman oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada PRN Sarawak Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencatat kemenangan besar apabila memperoleh 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Parti Sarawak Bersatu (PSB) memenangi empat kerusi, manakala DAP memperoleh dua kerusi. Keputusan itu memberikan GPS mandat yang kukuh untuk membentuk kerajaan negeri.
PRN kali ini juga menarik perhatian kerana Sarawak sebelum ini meluluskan penambahan 17 kerusi DUN, menjadikan jumlah keseluruhan yang dirancang sebanyak 99 kerusi.
Bagaimanapun, SPR memaklumkan proses persempadanan semula belum dapat diselesaikan untuk pilihan raya kali ini. Oleh itu, PRN Ke-13 akan tetap melibatkan 82 kerusi sedia ada.
Dari sudut perundangan, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN, manakala DUN baharu perlu dipanggil bersidang dalam tempoh tidak melebihi 120 hari.
Oleh Shahrul Qaizat




