Tempoh kempen 14 hari PRN Sarawak Ke-13 mencukupi – Gira

Facebook
WhatsApp
KETUA Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Christopher Gira Sambang.

SIBU, 6 November: Tempoh kempen selama 14 hari bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 disifatkan mencukupi untuk calon mendekati pengundi, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, dengan kemudahan jalan raya serta liputan internet yang semakin meluas.

Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Christopher Gira Sambang berkata, penetapan 28 November sebagai hari penamaan calon dan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian memberikan garis masa jelas kepada calon, parti politik serta pengundi untuk membuat persiapan.

“Saya mengalu-alukan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tarikh penamaan calon dan pengundian. Saya percaya tempoh kempen 14 hari mencukupi untuk calon bertemu pengundi serta menjelaskan keutamaan dan komitmen masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, peningkatan akses jalan raya dan liputan internet turut memudahkan pergerakan jentera parti serta komunikasi dengan pengundi muda, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Banyak rumah panjang kini boleh diakses melalui jalan raya dan mempunyai liputan internet. Kemudahan ini memudahkan Pemuda PRS bertemu pengundi serta mengekalkan hubungan dengan mereka sepanjang tempoh kempen,” katanya.

Beliau berkata, platform digital juga akan memainkan peranan penting dalam strategi komunikasi Pemuda PRS, selain penggunaan jentera akar umbi untuk mendekati masyarakat.

Katanya, liputan internet yang semakin meluas membolehkan jentera parti terus berhubung dengan pengundi muda di kawasan luar bandar, manakala jaringan jalan raya yang lebih baik memudahkan pergerakan antara komuniti.

Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran utama adalah menggalakkan pengundi muda yang berada jauh dari kawasan asal masing-masing untuk pulang mengundi pada 12 Disember ini.

“Ramai pengundi muda sedang melanjutkan pengajian di universiti atau kolej, manakala sebahagian lagi bekerja di kawasan bandar. Mereka mungkin berdepan kesukaran untuk pulang disebabkan komitmen pengajian, pekerjaan serta perjalanan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, usaha membawa pulang pengundi muda ke kawasan masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab mengundi menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani Pemuda PRS menjelang hari pengundian.

Oleh Tarani Lanting