KUCHING, 6 November: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperluaskan pelaksanaan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCRBA) ke semua 82 bahagian pilihan raya negeri bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pengerusi SPR Malaysia, Dato Sri Ramlan Dato Harun berkata, peluasan sistem berkenaan merupakan antara langkah yang dilaksanakan SPR dalam mengurus proses pengundian pada pilihan raya kali ini.
Menurut beliau, seramai 2,058,781 pemilih layak mengundi berdasarkan daftar pemilih terkini sehingga September 2026 yang dikemas kini pada 25 Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 2,034,377 merupakan pengundi biasa, manakala 13,575 terdiri daripada anggota tentera serta pasangan dan 10,833 lagi anggota polis, Polis Gerakan Am (PGA) serta pasangan.
Bagi memastikan kelancaran pengendalian pilihan raya, SPR turut melantik 82 pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu 305 penolong pegawai pengurus.
Ramlan berkata, sebanyak 82 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) juga akan ditubuhkan bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.
Pasukan itu akan turut dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan serta wakil calon yang bertanding.
Dalam pada itu, SPR menetapkan 20 November sebagai tarikh tutup permohonan undi pos bagi kategori 1B, membabitkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara, dan kategori 1C untuk agensi serta organisasi.
Bagi kategori 1A yang melibatkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera serta petugas media, tarikh tutup permohonan ditetapkan pada 25 November.
Sementara itu, PRU DUN Sarawak ke-13 akan menyaksikan hari penamaan calon pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember ini.
SPR turut menetapkan 6 November sebagai tarikh pengeluaran writ pilihan raya berkenaan.
Oleh Afiq Sallehi




